Koleksi ABi

Wali Allah

Dalam dunia yang bingit dengan dakwaan, gelaran dan populariti, manusia sering tersalah menilai siapakah wali Allah ta‘ala. Ada yang menyangkanya sebagai insan luar biasa dengan keajaiban yang menguja perhatian, sedangkan…

Wali Allah : Suluhan Iman dan Penjaga Arah Umat

(Tadabbur Surah Yūnus: 62–64)

Dalam dunia yang bingit dengan dakwaan, gelaran dan populariti, manusia sering tersalah menilai siapakah wali Allah ta‘ala. Ada yang menyangkanya sebagai insan luar biasa dengan keajaiban yang menguja perhatian, sedangkan al-Qur’an mengembalikan kefahaman kepada hakikat yang jauh lebih mendalam dan mendidik jiwa bahawa wali Allah ialah hamba yang beriman dan bertaqwa.

Mereka mungkin tidak dikenali di bumi, tetapi dikenali di sisi langit. Tidak dipuja manusia, tetapi hampir dengan Allah ta‘ala.

﴿أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ﴾ ﴿٦٢﴾ ﴿الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ﴾ ﴿٦٣﴾ ﴿لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۚ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ﴾ ﴿٦٤﴾

“Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka ialah orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan juga di akhirat. Tidak ada perubahan pada janji-janji Allah. Yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.”

(Surah Yūnus: 62–64)

Siapakah Wali Allah Ta‘ala?

Allah Ta‘ala sendiri menetapkan definisi kewalian cirri-ciri:

Iman yang sahih – membenarkan dengan hati, diikrarkan dengan lisan dan dibuktikan dengan amal.

Taqwa yang sempurna dan berterusan – menjaga perintah dan menjauhi larangan dalam setiap sisi kehidupan.

Ini menunjukkan kewalian bukan status eksklusif, bukan warisan, bukan gelaran. Ia adalah jalan terbuka bagi setiap hamba yang bersungguh membina iman dan memelihara taqwa.

Jiwa yang Tidak Takut dan Tidak Bersedih

لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita

Wali Allah Ta‘ala:

tidak takut akan masa depan kerana yakin dengan akhirat,

tidak tenggelam dalam penyesalan masa lalu kerana hidup dengan taubat dan ibadah.

Inilah buah tarbiyyah keimanan iaitu hati yang terpaut kepada Allah Ta‘ala tidak digoncang oleh perubahan dan pesona dunia, ujian atau kehilangan.

Peranan Wali Allah Ta‘ala Kepada Umat

1. Suluhan Iman Ketika Umat Gelap Arah

Wali Allah bukan sekadar individu soleh untuk dirinya, tetapi menjadi penenang jiwa umat ketika umat haru biru dengan gelodak kesesatan. Juga, menghidupkan harapan ketika manusia dilanda ketakutan, serta membuktikan bahawa iman boleh hidup dalam realiti, bukan hanya dalam teori. Keberadaan mereka adalah isyarat rahmat dari Allah Ta‘ala.

2. Penjaga Kesucian Agama Melalui Amal

Wali Allah sentiasa berusaha menjaga agama dengan istiqamah, bukan slogan, memelihara As Sunnah melalui akhlak, serta membetulkan umat tanpa menghina dan merendahkan manusia. Ketika agama disempitkan kepada perdebatan dan emosi, merekalah yang menjaga roh agama.

3. Benteng Rahmat

Dalam sunnatullah, Allah Ta‘ala menurunkan rahmat kerana orang-orang soleh. Maka, para wali Allah menjadi sebab keberkatan hidup masyarakat, doa mereka menjadi perlindungan umat, dan kewujudan mereka menyebarkan ehsan sesama manusia.

4. Mentarbiyyah Umat Dengan Jiwa

Wali Allah tidak menguasai manusia, tetapi melembutkan hati yang keras, menghidupkan rasa takut kepada Allah Ta‘ala, dan mengajak kepada taubat dan ibadah dengan kasih sayang. Mereka mendidik dari dalam jiwa , bukan memaksa dari luar.

Berita Gembira Dunia dan Akhirat

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ

Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan juga di akhirat

Para ulama tafsir menjelaskan, di dunia bagi mereka ketenangan iman, istiqamah, husnul khatimah. Manakala, di akhirat menanti ialah keredaan Allah Ta‘ala dan syurga yang tinggi. Ini membuktikan bahawa wali Allah bukan insan terasing dan sengsara, tetapi hidup dengan sakinah yang tidak dimiliki oleh pencinta dunia.

Janji Allah Pasti Berlaku

لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Tidak ada perubahan pada janji-janji Allah, Yang demikian itu ialah kemenangan yang besar

Kewalian bukan mitos dan bukan khayalan. Ia adalah janji Allah Ta‘ala yang pasti benar, selama mana iman dan taqwa itu dijaga. Itulah kemenangan yang hakiki yang dijanjikan Allah ta’ala.

Penutup Tarbawi

Wali Allah Ta‘ala bukan mereka yang dipuja manusia, tetapi mereka yang takut kehilangan Allah. Bukan mereka yang terkenal di bumi, tetapi dikenali di langit. Percayalah bahawa selagi masih ada hamba yang beriman dan bertaqwa, umat ini tidak akan binasa, walaupun mereka tidak disebut-sebut namanya.

Justeru, jangan sibuk mencari siapa wali Allah, tetapi sibukkan diri membina iman dan memelihara taqwa, kerana di situlah terletaknya jalan menuju kewalian dan keselamatan umat.

— ABi

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka