Koleksi ABi
Tidak Terkenal di Dunia
Di zaman ini, ukuran kemuliaan sering diukur dengan angka pengikut, sebutan di media, atau sorakan manusia. Ramai manusia sering terpedaya dengan dunia yang hanya memuliakan mereka yang popular, petah berbicara, atau gemerlapan…
“Tidak Terkenal di Dunia, Tetapi Dikenali di Langit”
Di zaman ini, ukuran kemuliaan sering diukur dengan angka pengikut, sebutan di media, atau sorakan manusia. Ramai manusia sering terpedaya dengan dunia yang hanya memuliakan mereka yang popular, petah berbicara, atau gemerlapan pencapaian duniawinya.
Namun Islam memimpin kita melihat jauh lebih jauh dan dalam — siapakah sebenarnya insan yang benar-benar mulia?
Al-Qur’an Menegaskan Neraca Allah Berbeza
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
“Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.”
(Surah al-Hujurat: 13)
Allah tidak melihat rupa, kekayaan, pengaruh atau kemasyhuran — tetapi hati dan amal yang tersembunyi.
Mereka yang Tidak Dipedulikan, Tapi Diperhatikan Langit
Nabi ﷺ bersabda:
رُبَّ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ، لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ
“Ramai orang yang rambutnya kusut masai, berdebu, dan dihalau dari pintu (tidak dipedulikan oleh manusia). Namun jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan tunaikan sumpahnya.”
(Riwayat Muslim, no. 2622)
Siapa sangka orang yang tidak bergaya, tidak berharta, dan tidak punya pengaruh di sisi manusia namun mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah ta’ala.
Sumpahnya makbul. Doanya ditunaikan. Kerana hatinya bersih, jiwanya tunduk, dan hubungannya dengan Allah ta’ala sangat dekat.
Dicintai Allah Ta’ala Kerana Sifat-Sifat Tersembunyi
Sabda Nabi ﷺ :
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِيَّ الْغَنِيَّ الْخَفِيَّ
“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, merasa cukup, dan tersembunyi.”
(Riwayat Muslim, no. 2965)
Taqi (تقي): Dia menjaga hatinya daripada dosa.
Ghani (غني): Dia cukup dengan apa yang Allah beri, walau sedikit.
Khafi (خفي): Dia tidak mahu dikenali. Cukuplah Allah mengenalinya.
Ibn al-Qayyim rahimahullah menyebut:
“Ikhlas itu tidak dinilai dengan amal yang banyak, tetapi dengan amal yang tersembunyi, yang hanya diketahui oleh Allah.”
Allah Ta’ala Menyebut Namanya di Langit
إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ الْعَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ، إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ، فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، فَيُنَادِي جِبْرِيلُ فِي أَهْلِ السَّمَاءِ، إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ
“Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia menyeru Jibril: ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Maka Jibril mencintainya. Kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penduduk langit: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Maka seluruh penduduk langit mencintainya, lalu diberi penerimaan baginya di bumi.”
(Riwayat Muslim, no. 2637)
Dicintai oleh Allah ta’ala, disebut oleh Jibril, dan dikenali oleh penduduk langit. Ini jauh lebih agung daripada disanjung oleh manusia di dunia.
4. Hadis Nabi ﷺ :
خِيَارُكُمْ مَنْ ذَكَّرَكُمُ اللَّهَ رُؤْيَتُهُ، وَزَادَ فِي عِلْمِكُمْ مَنْطِقُهُ، وَذَكَّرَكُم بِالْآخِرَةِ عَمَلُهُ
“Sebaik-baik kalian ialah orang yang apabila kamu melihatnya, kamu teringat kepada Allah; apabila dia berbicara, dia menambahkan ilmumu; dan apabila kamu melihat amalannya, kamu teringat akan akhirat.”
(Diriwayatkan oleh Abu Ya‘la dalam Musnad no. 4386, Al-Ṭabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir, Al-Ḥakim dalam al-Mustadrak (1/96). Dinilai hasan oleh Imam al-Mundziri dan al-‘Iraqi.)
Hadis ini menggariskan tiga ciri utama insan terbaik dalam pandangan Rasulullah ﷺ:
“Apabila dipandang, mengingatkan kepada Allah” – Orang ini hidup dalam taqwa dan adab. Penampilan, akhlak, dan ketenangannya memancarkan cahaya keimanan yang membuatkan hati orang lain turut tersentuh dan terdorong mengingati Allah.
“Apabila dia berbicara, menambahkan ilmumu” – Tutur katanya bukan sia-sia, tetapi penuh hikmah, ilmu dan manfaat. Ia menyedarkan, mendidik dan membimbing. Ini menunjukkan bahawa insan terbaik bukan hanya beramal sendiri, tetapi menyampaikan ilmu kepada orang lain.
“Apabila kamu melihat amalannya, kamu teringat akan akhirat” – Perbuatannya membangkitkan muhasabah. Kesungguhannya dalam beribadah, kemurahannya dalam sedekah, ketekunannya dalam kebaikan — semuanya mengingatkan kita tentang akhirat dan matlamat hidup yang sebenar.
Imam al-Fudhayl ibn ‘Iyadh berkata:
“Beramallah untuk dikenali oleh Allah, bukan dikenali oleh manusia. Orang yang ikhlas itu tidak peduli siapa tahu amalnya, asalkan Allah tahu.”
Dan Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya:
“Bilakah manusia akan merasakan kerehatan sebenar?”
Beliau menjawab:
“Apabila kakinya melangkah masuk ke syurga.”
Justeru, jadilah hamba yang amalannya tersembunyi, hatinya penuh ketaqwaan, dan hidupnya tenang, walau jauh dari perhatian manusia.
Tersembunyilah di bumi, agar bersinar di langit. Amalmu mungkin tidak viral, tetapi mampu membuat para malaikat menangis gembira melihatnya.
ABi