Koleksi ABi
Solat Yang Berkualiti
Solat adalah tiang agama dan medan pertemuan antara hamba dengan Allah Ta‘ala. Namun, bukan semua solat membawa kesan yang dicita-cita. Solat yang benar-benar memberi kesan ialah solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’, ikhlas,
Solat Yang Berkualiti: Kuncinya Khusyu’, Akarnya Ikhlas
Solat adalah tiang agama dan medan pertemuan antara hamba dengan Allah Ta‘ala. Namun, bukan semua solat membawa kesan yang dicita-cita. Solat yang benar-benar memberi kesan ialah solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’, ikhlas, dan istiqamah, serta disempurnakan dengan penjagaan syarat dan rukunnya.
Allah Ta‘ala menyebut secara jelas bahawa kejayaan orang beriman bermula dengan solat yang khusyu’:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam solat mereka.”
(Surah Al-Mu’minūn: 1–2)
Khusyu’ adalah hasil daripada rasa takut dan sedar akan kebesaran Allah Ta‘ala. Hati yang hidup akan merasa gerun berdiri di hadapan Tuhan yang melihat segala. Perasaan ini hadir apabila seseorang yakin bahawa solatnya itu adalah sebahagian daripada perjalanannya menuju Allah:
وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُوا رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦﴾
“Sesungguhnya solat itu berat, kecuali kepada orang-orang yang khusyu’. Iaitu mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan kepada-Nyalah mereka kembali.”
(Surah Al-Baqarah: 45–46)
Ikhlas pula berputik apabila seseorang merasa sedang diawasi Allah, bukan sekadar mempersembahkan ibadah di hadapan manusia. Sabda Rasulullah ﷺ:
”أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ، فَإِنَّهُ يَرَاكَ”
“Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 50 dan Muslim, no. 9)
Ibnul Qayyim rahimahullah juga menyebut:
“فَإِذَا قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قَامَ إِلَى مُنَاجَاةِ سَيِّدِهِ، وَالْقُرْبِ مِنْهُ، وَالتَّوَجُّهِ إِلَيْهِ دُونَ مَا سِوَاهُ”
“Apabila seseorang berdiri untuk solat, dia sedang bermunajat kepada Tuannya, mendekatkan diri kepada-Nya, dan menghadapkan wajahnya hanya kepada-Nya, bukan kepada selain-Nya.”
(Madarij As-Salikin, 1/94)
Sifat-Sifat Orang Yang Menjaga Solat (Dalam Al-Qur’an)
Allah Ta‘ala memuji orang-orang yang bukan sekadar menunaikan solat, bahkan mendirikannya dengan kualiti tinggi. Berikut adalah empat sifat yang disebut secara berulang dalam al-Qur’an:
1. Khusyu’ dalam solat
ٱلَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَٰشِعُونَ ﴿٢﴾
“Iaitu mereka yang khusyu’ dalam solat mereka.”
(Surah Al-Mu’minūn: 2)
2. Mendirikan solat (bukan sekadar melaksanakannya)
وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَاةَ
“Dan mereka mendirikan solat.”
(Frasa ini diulang lebih 30 kali dalam al-Qur’an)
الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ﴿٤﴾
”(Iaitu) mereka yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta mereka yakin terhadap akhirat.”
(Surah Luqmān: 4)
3. Sentiasa konsisten (berkekalan) dalam solat
ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ ﴿٢٣﴾
“Mereka yang tetap (berkekalan) mengerjakan solat.”
(Surah Al-Ma‘ārij: 23)
4. Memelihara solat dengan teliti
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٣٤﴾
“Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
(Surah Al-Ma‘ārij: 34)
⸻
Amaran kepada yang melalaikan solat
Sebaliknya, Allah memberi amaran keras kepada mereka yang melalaikan solat walaupun menunaikannya:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ﴿٤﴾ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ﴿٥﴾
“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) mereka yang lalai terhadap solat mereka.”
(Surah Al-Mā‘ūn: 4–5)
Muhasabah Diri
Imam Hasan al-Basri rahimahullah berkata:
“الصلاة إن لم تنهك عن الفحشاء والمنكر، فلا صلاة لك”
“Jika solat tidak mencegahmu daripada kejahatan dan kemungkaran, maka sebenarnya engkau belum solat.”
Solat yang berkualiti ialah solat yang melahirkan rasa kehambaan, menundukkan nafsu, mendidik hati, dan menyuburkan taqwa. Solat yang begini sahaja yang akan menjadi cahaya di dunia, dan penyelamat di akhirat.
اللَّهُمَّ اجعلنا من الخاشعين في صلاتهم، المخلصين في عبادتهم، المقيمين لصلاتهم، المحافظين على صلواتهم، ولا تجعلنا من الساهين الغافلين، آمين.
Ya Allah! Jadikanlah kami di kalangan mereka yang khusyu’ dalam solat, yang ikhlas dalam ibadah, yang benar mendirikan solat, yang memelihara solat , dan janganlah Engkau jadikan kamu di kalangan yang cuai dan lalai. Amin.