Koleksi ABi

Nota Tafsir dan Tadabbur Surah Yaa Sin 5 (سورة يس)

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan). (31)

Nota Tafsir dan Tadabbur Surah Yaa Sin 5 (سورة يس)

(Rujukan kitab tafsir Safwatu At Tafaasir, Syeikh Ali As Sabouni dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an, Sheikh Abdullah Basmeih. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM)

Surah Yaa Siin ( ayat 31-33)

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ الْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ ‎﴿٣١﴾‏

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan). (31)

Apakah musyrikin Mekah tidak mengambil pelajaran dari kaum sebelum mereka yang Allah ta’ala telah musnahkan? Lafaz ‘mereka’ di sini merujuk kepada Musyrikin Mekah. Semasa ayat ini diturunkan, diingatkan kepada Musyrikin Mekah tentang orang-orang sebelum mereka. Musyrikin Mekah itu memang tahu kisah-kisah kaum yang telah dihancurkan dulu. Terutama Kaum Aad dan Tsamud kerana mereka akan melalui kawasan penempatan Aad dan Tsamud itu. Kaum-kaum itu sudah tiada keturunan pun lagi. Yang ada dari tempat mereka adalah kesan-kesan kehancuran sahaja. Kerana Allah ta’ala hancurkan semua sekali penduduk negeri mereka dengan tidak tinggalkan baka dan baki pun. Walaupun keturunan mereka sudah tidak ada, tapi perbuatan mereka ditulis dan mereka akan dibawa ke hadapan Allah ta’ala untuk dinilai apakah yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Tidakkah puak musyrikin sedar yang mereka yang telah dihancurkan itu tidak boleh kembali ke dunia selepas mereka dibinasakan? Maknanya mereka tidak boleh lagi untuk hidup semula ke dunia untuk membaiki kesalahan mereka.


وَإِن كُلٌّ لَّمَّا جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ ‎﴿٣٢﴾‏

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). (32)

Iaitu semua makhluk akan hadir mengadap Tuhan sendiri-sendiri dan seorang demi seorang.

Firman Allah ta’ala,

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya;

Al An'am : 94

Perkataan مُحْضَرُونَ itu bukan bermaksud mereka hadir dengan sendiri. Tapi mereka ‘akan dibawa hadir’. Kerana kalau mereka hadir sendiri, perkataan yang digunakan adalah: حاضرون. Maksudnya mereka akan dikerah untuk mengadap Allah ta’ala dengan cara paksa. Yang jahat akan dikerah seperti binatang, dirantai dan ditarik dengan kasar. Apabila dibawa ke hadapan Allah ta’ala , mereka akan disuruh baca sendiri apakah perbuatan mereka dahulu semasa di dunia. Kitab Amalan akan dibentangkan di hadapan mereka dan mereka akan disuruh baca sendiri amalan mereka. Begitulah seperti apa yang telah tertulis dalam Al Isra’:14

اقرَأ كِتابَكَ كَفىٰ بِنَفسِكَ اليَومَ عَلَيكَ حَسيبًا

“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

Kemudian mereka akan dibalas sesuai dengan akidah dan amalan mereka semasa di dunia.


وَآيَةٌ لَّهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ ‎﴿٣٣﴾‏

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. (33)

Inilah cara Al-Qur’an menerangkan tentang akidah tauhid dengan pendekatan yang amat mudah. Antaranya Al-Qur’an menarik perhatian kita kepada alam. Apabila kita lihat kepada alam yang luas ini, kita sepatutnya teringat tentang Allah ta’ala . Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang menyuruh kita melihat alam dan makhluk yang diciptaNya. Semua sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah ta’ala . Kerana sejak di alam ruh, ruh manusia telah pun mengenal Allah ta’ala . Oleh itu, ayat-ayat dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk memberikan maklumat baru kepada kita, tapi ianya cuma untuk mengingatkan kita sahaja kepada apa yang kita telah tahu. Oleh itu, banyak ayat di dalam Al-Qur’an, Allah ta’ala mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu sebagai ‘pemberi peringatan’ sahaja. Allah ta’ala memilih perumpamaan tanah dalam ayat ini. Bukan hanya hendak menceritakan tentang tanah yang mati sahaja, tapi ada lagi yang lebih penting dari itu. Bumi ini jadi mati, kering dan gersang, kerana tidak ada air padanya. Tanah itu dikira mati kerana tumbuhan tidak dapat hidup tanpa air.

Rasulullah ﷺ bersabda,

تفكروا في آلاء الله، ولا تفكروا في الله

"Berfikirlah tentang nikmat-nikmat Allah, dan jangan berfikir tentang (zat) Allah."

Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam "السلسلة الصحيحة" (no. 1788).

Ini bererti pendekatan berfikir dan merenungi ayat-ayat Allah ta’ala pada alam adalah pendekatan terbaik dalam membina rasa takut dan kagum terhadap keagungan Allah ta’ala.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎﴿١٩٠﴾‏ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ‎﴿١٩١﴾

‎﴿آل عمران:١٩٠-١٩١ ﴾‏

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (190) (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (191)

(Ali ‘Imran: 190-191)

Allah ta’ala hidupkan semula bumi dengan cara menurunkan hujan. Tidak menjadi kesusahan bagi Allah ta’ala untuk menghidupkan semula tanah yang gersang itu. Dengan hanya menurunkan hujan sahaja, sudah cukup menyuburkan tanah itu. Kerana apabila ada air, maka tumbuhan dapat hidup dan binatang pun akan datang ke tempat itu. Kalau tanah yang mati Allah ta’ala boleh hidupkan dengan mudah, maka tentulah Allah ta’ala boleh hidupkan balik manusia dan segala makhluk yang telah mati malah telah hancur.

Jika ditadabbur lebih mendalam akan ayat ini, ‘tanah yang mati’ juga boleh membawa maksud ‘hati yang mati’. Hati yang tidak ada kefahaman tauhid di dalamnya adalah hati yang mati. Allah ta’ala boleh menghidupkan balik hati yang mati itu dengan memberi petunjuk dan fahaman tauhid kepadanya. Dan menumbuhkan dengan air hujan itu, berbagai jenis tumbuhan yang indah-indah dapat hidup. Ia dapat mengeluarkan biji-bijian. Begitu juga, apabila hati yang mati telah dihidupkan dengan kefahaman tauhid, maka ianya akan membawa pelbagai kebaikan padanya. Kebaikan itulah yang dimaksudkan dengan bijian itu yang kemudian menumbuhkan pokok dan segala manfaat darinya. Oleh itu pentingnya hati disirami dengan ilmu dan petunjuk Al Quran agar ianya sentiasa subur dan membuahkan pelbagai kebaikan kepada diri manusia.

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka