Koleksi ABi

Nota Tadabbur Surah Yaa Siin 13 (سورة يس)

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (68)

Nota Tadabbur Surah Yaa Siin 13 (سورة يس)

(Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an” oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tafsir Ibnu Katsir dan Safwatu At Tafaasir oleh As Sabouni)

Surah Yaa Siin ayat 66-70

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ ‎﴿٦٦﴾‏

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (66)

وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنَاهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ فَمَا اسْتَطَاعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ ‎﴿٦٧﴾‏

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang. (67)

وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ ‎﴿٦٨﴾‏

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (68)

وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِي لَهُ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ ‎﴿٦٩﴾‏

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; (69)

لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ ‎﴿٧٠﴾‏

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (70)

Tafsir dan tadabbur

Firman Allah Ta‘ala:

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ ‎﴿٦٦﴾‏

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (66)

Sekiranya Kami kehendaki, pasti Kami menghilangkan penglihatan mereka (secara zahir mahupun batin), maka mereka tetap akan bergegas melalui jalan yang biasa mereka lalui. Namun bagaimana mereka dapat melihat dan menemui jalan hidayah ketika itu?

Ibnu ‘Abbas raḍhiyallāhu ‘anhuma berkata:

"Maksudnya, jika Kami kehendaki, nescaya Kami akan butakan mereka dari hidayah, lalu mereka tidak akan mampu mendapat petunjuk ke jalan kebenaran untuk selama-lamanya."

Ini adalah ancaman kepada kaum Quraisy. Namun ayat ini bukan sahaja ditujukan kepada orang kafir Quraisy pada zaman Nabi, tetapi juga sebagai peringatan sepanjang zaman, iaitu:

Jika manusia tidak menggunakan nikmat mata, akal dan hati untuk mengenal Allah dan menerima kebenaran, maka Allah boleh tarik balik semua itu bila-bila masa, dan mereka akan jadi seperti makhluk tanpa arah dan tanpa kesedaran.

Imam al-Qurtubī menyebut:

“Allah ta’ala memberi peringatan bahawa kemampuan melihat, berfikir dan memahami itu adalah pemberian-Nya. Jika Dia kehendaki, semua itu boleh dilenyapkan walaupun seseorang itu sihat dan berusaha.”


وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنَاهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ فَمَا اسْتَطَاعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ ‎﴿٦٧﴾‏

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang. (67)

Jika Kami mahu, Kami akan menukarkan mereka menjadi makhluk lain, iaitu dimatikan atau dijadikan seperti haiwan atau batu, lalu mereka terhenti di tempat itu, tidak dapat bergerak ke hadapan dan tidak pula mampu untuk kembali ke belakang.

Ini adalah satu ancaman lain kepada orang kafir yang tetap enggan menerima kebenaran.

Ada dua kali Allah ta’ala menceritakan bagaimana Allah ta’ala merubah kejadian manusia dalam Al-Qur’an:

Dalam al-Qur’an: Manusia Diubah Menjadi Kera dan Babi

Kaum Bani Israil Dikutuk Jadi Kera

﴿وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ ٱلَّذِينَ ٱعْتَدَوْا۟ مِنكُمْ فِى ٱلسَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ﴾

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui orang-orang yang melanggar (perintah Allah) dalam urusan hari Sabtu di kalangan kamu, lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina.”

( Surah Al-Baqarah: 65)

Ini merujuk kepada sekelompok Bani Israil yang berpura-pura mematuhi larangan memancing pada hari Sabtu dengan melakukan helah (ḥīlah). Mereka akhirnya ditukar menjadi kera yang hina (قِرَدَةً خَاسِئِينَ).

Kisah Umat yang Diubah Jadi Kera dan Babi

﴿قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّۭ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ ٱلْقِرَدَةَ وَٱلْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَۚ﴾

“Katakanlah: Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya di sisi Allah? Iaitu mereka yang dilaknat oleh Allah, dimurkai-Nya, dan dijadikan di antara mereka kera dan babi, serta yang menyembah taghut...”

( Surah Al-Ma’idah: 60)

Menurut tafsir Ibn Kathir, ini juga merujuk kepada kaum yang melanggar perintah Allah dengan keras, mereka dihina dengan diubah menjadi kera dan khinzir, sama ada secara hakiki atau majazi (yakni akhlak dan hati mereka menjadi seperti binatang itu).

Dalam Hadis Sahih:

Akan Ada Umat Nabi ﷺ Diubah Menjadi Binatang

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: "فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ"، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَتَى ذَاكَ؟ قَالَ: "إِذَا ظَهَرَتِ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ، وَشُرِبَتِ الْخُمُورُ".

"Akan berlaku dalam umat ini kejadian tenggelam dalam bumi (khasf), perubahan rupa bentuk (maskh), dan lemparan batu dari langit (qadhf)."

Seorang lelaki bertanya: “Bilakah itu akan berlaku wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: "Apabila muncul penyanyi wanita, alat muzik, dan arak diminum secara berleluasa."

(Hadis riwayat al-Tirmizi , 2212)

"Maskh" dalam hadis ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai perubahan bentuk manusia menjadi binatang – sama seperti azab yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu.

Imam al-Qurṭubī dalam tafsirnya menyebut:

"Perubahan bentuk (maskh) ini adalah benar-benar berlaku, sebagaimana berlaku kepada kaum yang melanggar hari Sabtu."

Ibnu Hajar al-‘Asqalānī dalam Fath al-Bārī menyebut bahawa perubahan itu boleh berlaku:

Sama ada secara hakiki (jasad berubah), Atau secara ma‘nawi (hati, akhlak dan perangai menjadi seperti binatang)

Iktibar dan Muhasabah

Allah Ta‘ala berkuasa menukar manusia yang ingkar menjadi makhluk lain sebagai bentuk kehinaan. Helah dalam agama, berpura-pura taat tetapi menipu hukum hakikatnya adalah kemunafikan dan boleh membawa laknat. Rasulullah ﷺ memberi amaran bahawa kemaksiatan terbuka, seperti muzik haram, arak dan zina, akan menyebabkan azab berupa maskh dan khasf menimpa umat.


وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ ‎﴿٦٨﴾‏

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (68)

Sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, maka Kami akan jadikan dia kembali kepada keadaan lemah dan tidak tahu apa-apa seperti bayi.

Qatādah berkata:

"Ia kembali kepada keadaan tua yang menyerupai keadaan bayi; umur yang panjang menjadikan seorang muda menjadi tua, dan kuat menjadi lemah, dan yang bertambah menjadi berkurang."

Ini adalah dalil kekuasaan Allah yang mampu membalikkan manusia daripada kuat kepada lemah. Maka tidakkah mereka berfikir bahawa Allah juga mampu mengazab dan memusnahkan mereka?


وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِي لَهُ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ ‎﴿٦٩﴾‏

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; (69)

Allah tidak mengajarkan syair kepada Nabi Muhammad ﷺ, kerana baginda bukanlah penyair, dan tidak wajar baginda menjadi penyair.

Imam al-Qurṭubī berkata:

"Ini adalah penolakan terhadap tuduhan orang kafir bahawa Nabi ﷺ hanyalah seorang penyair dan al-Qur’an itu syair. Padahal syair itu berasaskan khayalan dan kiasan, sedangkan al-Qur’an adalah hakikat dan hidayah."

Syair paling indah pun sering dikatakan: “yang paling manis adalah yang paling dusta” – maka di mana mungkin al-Qur’an yang penuh kebenaran disamakan dengannya?

Imam al-Shāfi‘ī رحمه الله pula menyimpulkan:

"Syair itu hanyalah kata-kata. Sebahagiannya baik, dan sebahagiannya buruk."


لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ ‎﴿٧٠﴾‏

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (70)

Tujuan diturunkan al-Qur’an ialah untuk memberi peringatan kepada mereka yang hidup hatinya dan memiliki cahaya iman, iaitu orang-orang beriman yang masih bersedia menerima kebenaran.

Adapun orang kafir, telah pun tetap ke atas mereka ketetapan azab, kerana mereka seperti orang mati—tidak mampu memahami, tidak mahu mendengar, dan tidak mahu menerima peringatan.

Al-Bayḍāwī berkata:

"Diletakkan orang kafir berlawanan dengan ‘orang hidup’ menunjukkan bahawa mereka itu seperti orang mati, kerana kekufuran mereka, gugurnya hujah mereka, dan kelalaian mereka dari merenung kebenaran."

Khulasah Tadabbur: Surah Yasin 66–70

1. Ancaman Penghapusan Penglihatan (Ayat 66)

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ...

Iktibar: Allah berkuasa menghapuskan penglihatan zahir dan batin manusia, hingga mereka tidak mampu melihat kebenaran meskipun berjalan di jalan biasa. Ini isyarat bahawa hidayah bukan atas usaha semata-mata, tetapi rahmat dan kehendak Allah. Jangan takbur dengan akal dan ilmu sendiri.

2. Ancaman Penukaran Bentuk (Ayat 67)

وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنَاهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ...

Iktibar: Allah boleh menukarkan manusia kepada bentuk hina dan lumpuh jika Dia kehendaki. Ini mengingatkan kita agar tidak merasa selamat dari murka Allah jika terus-menerus menolak kebenaran dan hidup dalam maksiat.

Fokus Utama Ayat 66–67:

1. Kuasa Mutlak Allah untuk Menyesatkan atau Menghalang Hidayah

Jika Allah kehendaki, Dia boleh hapuskan penglihatan manusia, maka mereka tidak dapat lagi melihat kebenaran, walaupun mereka cuba mencarinya.

Ini adalah perumpamaan untuk orang yang membutakan hati — mereka tetap sesat walaupun diberi peluang.

2. Amaran tentang Akibat Kekufuran yang Degil

Allah boleh mematikan gerak manusia – baik jasmani atau ruhani – hingga mereka tidak mampu bergerak ke arah kebenaran dan tidak mampu kembali kepada taubat.

3. Penegasan: Hidayah Bukan Hak Mutlak Manusia

الْأَبْصَارُ (penglihatan zahir) boleh Allah cabut.

الْبَصِيرَةُ (penglihatan batin/hati) juga boleh Allah halang bila manusia berterusan dalam kesombongan.

Pengajaran Tarbiyyah:

Jangan sombong dengan hidayah – ia boleh ditarik bila-bila masa.

Cepat kembali kepada Allah sebelum datang waktu yang mana kita tidak boleh maju ke depan (taat) dan tidak boleh pula berpatah balik (bertaubat).

Peringatan ini untuk hati yang keras, agar tidak bermain-main dengan agama, kerana Allah boleh membiarkan seseorang sesat jika dia enggan menerima kebenaran.

Pandangan Ahli Tafsir:

• Tafsir al-Jalālayn:

“Kalau Kami kehendaki, Kami boleh padamkan penglihatan zahir mereka, atau padamkan hati mereka dari melihat kebenaran.”

• Tafsir Ibn Kathīr:

“Ini sebagai peringatan bahawa segala yang mereka lihat, gerakkan dan lalui hanyalah dengan izin Allah. Jika Dia mahu menyekatnya, mereka tidak akan dapat menolaknya.”

Kesimpulan Fokus Ayat 66–67:

Amaran terhadap orang yang enggan menerima kebenaran, bahawa Allah berkuasa memadam penglihatan hati dan jasad, membeku tempat mereka, dan mematikan jalan kembali kepada hidayah.

3. Umur Panjang Bukan Jaminan, Tapi Peringatan (Ayat 68)

وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ...

Iktibar: Sesiapa yang diberi umur panjang akan mengalami kelemahan dan kemunduran semula. Hakikat ini mengajar bahawa kuasa dan kecergasan bukan milik mutlak manusia. Gunakan masa muda untuk taat dan berbakti sebelum datang masa tua yang lemah dan tidak berdaya.

Allah ta’ala memaparkan hakikat penciptaan dan kelemahan manusia sebagai dalil ketuhanan-Nya dan sebagai teguran kepada mereka yang tidak menggunakan akal. Jika seseorang menyaksikan dirinya menjadi lemah semula, tetapi masih tidak mahu tunduk dan bertaubat, maka dia benar-benar telah membutakan akalnya.

4. Al-Qur’an Bukan Syair, Tapi Wahyu (Ayat 69)

وَمَا عَلَّمْنَاهُ ٱلشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِى لَهُ...

Iktibar: Al-Qur’an bukan syair atau ciptaan manusia, tetapi wahyu penuh kebenaran dan petunjuk. Maka, jangan samakan kalam Allah dengan karya manusia. Hargai dan hayati setiap ayat sebagai nasihat langsung dari langit untuk hati yang hidup. Al-Qur’an adalah wahyu yang mulia, bukan syair rekaan manusia. Allah menyucikan Nabi Muhammad ﷺ daripada tuduhan sebagai penyair dan menegaskan bahawa tugas baginda adalah menyampaikan zikir dan petunjuk yang nyata – bukan menghibur manusia, tetapi menyedarkan mereka.

5. Perbezaan Antara Hati yang Hidup dan Mati (Ayat 70)

لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا...

Iktibar: Al-Qur’an memberi kesan hanya kepada mereka yang hati mereka masih hidup, yakni yang bersedia menerima kebenaran. Sebaliknya, hati yang mati akan tetap dalam kekufuran meskipun dibacakan ayat demi ayat.

Petikan ini merupakan siri ancaman dan hujah terhadap kaum kafir, khususnya Quraisy, yang menuduh Nabi ﷺ dengan pelbagai tohmahan. Allah Ta‘ala menjawab tuduhan itu dengan penegasan tentang kekuasaan-Nya, kelemahan manusia, serta kebenaran mutlak al-Qur’an sebagai wahyu, bukan syair. Ia juga mengajak setiap insan berfikir dan menggunakan akal sebagai asas kepada hidayah.

Nota Tambahan

﴿ لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ ﴾
"Agar dia (Rasul) memberi peringatan kepada orang yang hidup, dan supaya ketetapan azab berlaku ke atas orang-orang kafir."

Penjelasan Maksud Ayat:

"لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا"

Maksudnya:
Agar Nabi ﷺ memberi peringatan kepada "orang yang hidup".

Siapa yang dimaksudkan "hidup" di sini?
Menurut Tafsir Ibn Kathir, al-Qurtubi, dan Safwatu At-Tafaasir, "hidup" di sini bukan sekadar hidup fizikal, tetapi:

"Hidup hatinya dengan iman dan akal yang sedar."

Orang yang mahu mendengar kebenaran,

Yang terbuka untuk menerima petunjuk dan berubah.

Maknanya: Al-Qur’an hanya bermanfaat kepada orang yang hatinya hidup, jiwanya bersih dari sombong, dan akalnya mahu tunduk kepada wahyu.

"وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ"

Maksudnya:
"Dan supaya ketetapan azab (kalimah azab) berlaku atas orang-orang kafir."

Tafsiran ulama:

"القول" = keputusan azab yang telah ditetapkan oleh Allah dalam ilmu-Nya.

Maksudnya: orang kafir yang keras hati, enggan menerima kebenaran walau telah diberi peringatan,

Maka layak atas mereka azab dan kemurkaan Allah.

Firman lain yang berkait:

‎﴿ وَلَقَدْ حَقَّ قَوْلُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ فَسَقُوا ﴾
"Telah tetap keputusan Tuhanmu terhadap orang yang fasiq..."
(Surah Yunus, 10:96)

HURAIAN LENGKAP DAN PANDANGAN ULAMA TASAWWUF TENTANG AYAT

"مَن كَانَ حَيًّا"

TAFSIR UMUM (ZAHIR NAS)

"Hayyan" (hidup) bukan bermaksud hidup secara biologikal sahaja (yakni tidak mati),

Tetapi "hidup hati dan ruh" – hati yang:

bersedia menerima petunjuk,

tidak keras atau tertutup,

masih ada cahaya iman atau kecenderungan kepada kebenaran.

Ibn Kathir:

"Yang dimaksudkan dengan 'hidup' ialah hati yang hidup, yang dapat mengambil manfaat daripada peringatan dan menerima hidayah."

Al-Qurtubi:

"Orang yang hidup di sini bermaksud orang yang berakal, terbuka jiwanya untuk menerima kebenaran; dan yang dimaksud dengan 'yang kafir' ialah yang keras hati, dan telah tetap ke atasnya azab Allah kerana terus dalam kekufuran."

PANDANGAN ULAMA TASAWWUF TENTANG "مَن كَانَ حَيًّا"

Dalam tradisi tasawwuf, "hidup" dalam ayat ini difahami secara lebih mendalam – bukan hanya kesedaran intelektual, tetapi kesedaran ruhani.

1. Hidupnya Hati Dengan Dzikrullah

Imam al-Qushayri (w. 465H) dalam Risalah Qushayriyyah:

"Hati itu mati kerana lalai dan dosa, dan ia hidup dengan dzikrullah dan muraqabah."

Orang yang hidup dalam ayat ini menurut tasawwuf ialah:

Orang yang hatinya tidak lalai,

Sentiasa dalam hubungan batin dengan Allah (ma‘iyyah).

Ini selaras dengan firman Allah:

‎﴿ أَوَ مَن كَانَ مَيۡتٗا فَأَحۡيَيۡنَٰهُ ﴾
"Adakah orang yang dahulunya mati (hatinya), lalu Kami hidupkan dia (dengan iman)..."
(Surah Al-An‘ām: 122)

2. Hidup Dengan Nur Iman dan Kecintaan Kepada Allah

Imam Abu al-Hasan al-Shādhilī:

"Hidupnya hati bukan sekadar percaya kepada kebenaran, tetapi merasa manisnya cinta kepada al-Ḥaqq (Allah)."

Menurut sufi:

Orang yang hidup ialah yang berjalan menuju Allah,

Yang merasai kehadiran-Nya dalam jiwa dan amal.

3. Hidupnya Ruh Yang Sedar Akan Tujuan Kehidupan

Imam Ibn ‘Aṭā’illāh as-Sakandari (w. 709H), dalam Al-Ḥikam:

"Tanda hidupnya hati itu ialah rasa berat untuk berbuat dosa, dan ringan untuk taat."

Ayat "مَن كَانَ حَيًّا" difahami sebagai:

Hati yang sedar akan akhirat,

Yang tidak tertipu oleh dunia,

Yang bergetar bila disebut nama Allah.

Lawan kepada hati yang hidup menurut tasawwuf ialah:

Al-qalb al-mayyit – mati kerana syahwat, ghaflah (kelalaian), dan cinta dunia.

4. Hati Yang Layak Disirami Cahaya Qur’an dan Hidayah

Syaikh Ahmad Zarrūq: (Pengarang kita Iqhozul Himam syarah Al Hikam)

"Hati yang hidup itu seperti tanah subur yang menyambut hujan – ia menyerap, memekarkan, dan menghidupkan sekelilingnya."

Perumpamaan hati yang hidup:

Lembut, lapang, rendah diri, dan bersedia ditarbiyyah dengan al-Qur’an dan nasihat.

Pengajaran Tarbiyyah Dari Ayat Ini

Peringatan (inzar) al-Qur’an hanya bermanfaat jika hati hidup. ➝ Hati yang mati tidak akan terusik walau sehebat mana hujah.

Menolak kebenaran menjadikan seseorang terkeluar dari rahmat dan masuk ke dalam azab. ➝ "حق القول" = keputusan azab Allah adalah adil bagi yang menolak peringatan.

Tanggungjawab Nabi ﷺ hanyalah menyampaikan dan memberi peringatan, bukan memaksa. ➝ Ini membina ruh tanggungjawab dakwah dan keikhlasan menyampaikan

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka