Koleksi ABi
Nota Tafsir dan Tadabbur Surah Al Insyirah (سورة آلإنشراح)
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
Nota Tafsir dan Tadabbur Surah Al Insyirah (سورة آلإنشراح)
(Safwatut Tafaasir oleh Syeikh Ali As Sabouni,Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an” oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM)
Ayat 1-8
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ﴿١﴾
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ﴿٢﴾
Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -
الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ ﴿٣﴾
Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ ﴿٤﴾
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب ﴿٨﴾
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
Pendahuluan Surah Al Insyirah
Surah ini adalah surah Makkiyah yang membicarakan tentang kedudukan Rasulullah ﷺ yang mulia dan darjatnya yang tinggi di sisi Allah ta’ala. Surah ini menyoroti nikmat-nikmat besar Allah ta’ala ke atas hamba dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad ﷺ, seperti melapangkan dadanya dengan iman, mencerahkan hatinya dengan hikmah dan makrifat, serta membersihkannya dari dosa dan kesalahan. Semua ini bertujuan untuk menenangkan Rasulullah ﷺ daripada gangguan dan tekanan kaum kafir serta memberikan ketenangan kepada hati baginda.
Surah ini juga menyebut tentang pengangkatan darjat Rasulullah ﷺ di dunia dan akhirat, di mana namanya digandingkan bersama nama Allah ta’ala . Selain itu, ia memberikan motivasi kepada Rasulullah ﷺ ketika berada di Mekah, menghadapi ujian dan tekanan bersama para sahabatnya daripada golongan kafir yang menentang. Allah ta’ala memberi khabar gembira tentang pertolongan dan kemenangan yang akan datang. Surah ini diakhiri dengan peringatan kepada Nabi ﷺ untuk menumpukan kepada ibadah kepada Allah ta’ala selepas menyelesaikan tugas menyampaikan risalah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat-nikmat besar tersebut.
Tafsir dan Tadabbur:
(١){أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ}
Pertanyaan berbentuk penegasan: “Bukankah Kami telah melapangkan dadamu, wahai Muhammad, dengan hidayah dan iman serta cahaya al-Quran?” Seperti firman Allah ta’ala :
{فمن يرد الله أن يهديه يشرح صدره للإسلام} [الأنعام: ١٢٥]
“Barang siapa yang dikehendaki Allah ta’ala untuk diberi petunjuk, Dia akan melapangkan dadanya untuk (menerima) Islam.” (Surah Al-An’am: 125)
Menurut Ibn Kathir, Allah ta’ala menerangi hati Nabi Muhammad ﷺ, menjadikannya lapang, luas, dan sabar. Sebagaimana Allah ta’ala melapangkan dadanya, Allah ta’ala juga menjadikan syariat Islam mudah, tidak sempit, dan bebas dari kesukaran. Ada juga riwayat yang menyebut bahawa pelapangan dada ini merujuk kepada peristiwa malaikat Jibril membelah dada baginda semasa kecil (riwayat Ibn Abbas).
(٢){وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ}
“Dan Kami telah mengangkat darimu beban yang berat.”
Yakni, Kami telah meringankan darimu, wahai Muhammad, beban yang berat yang selama ini menekanmu. Beban ini merujuk kepada tanggungjawab besar dalam menyampaikan risalah, kesedihan terhadap penolakan kaummu, serta perasaan berat hati kerana keprihatinanmu terhadap mereka.
(٣){ٱلَّذِىٓ أَنقَضَ ظَهْرَكَ}
“Yang memberati dan melemahkan belakangmu.”
Para mufassir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “وزر” (beban) adalah perkara-perkara yang pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Beban ini diangkat daripadanya dengan cara Allah ta’ala mengampunkan baginda, sebagaimana firman-Nya:
{لِّيَغْفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ}
(“Agar Allah mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang akan datang.”)
(Surah Al-Fath: 2)
Namun, yang dimaksudkan dengan “dosa-dosa” di sini bukanlah maksiat atau perbuatan dosa seperti yang biasa difahami, kerana para rasul adalah maksum (terpelihara) daripada melakukan kesalahan atau jenayah besar. Sebaliknya, ia merujuk kepada perkara-perkara yang dilakukan Rasulullah ﷺ berdasarkan ijtihad (usaha sendiri), tetapi kemudiannya ditegur oleh Allah Ta'ala. Contoh-contohnya adalah seperti:
Baginda mengizinkan orang munafik untuk tidak menyertai jihad ketika mereka mengemukakan alasan, sebagaimana disebut dalam kisah perang Tabuk.
Mengambil tebusan dari tawanan perang Badar, sedangkan Allah telah menetapkan keputusan yang berbeza.
Berkerut wajah terhadap Abdullah ibn Umm Maktum, seorang sahabat yang buta, kerana baginda sibuk berdakwah kepada para pemimpin Quraisy.
Dalam kitab Tafsir at-Tashil menyatakan:
Dosa-dosa kecil para nabi digambarkan sebagai beban berat, walaupun ia adalah dosa-dosa kecil yang telah diampunkan. Hal ini kerana para nabi sangat sensitif terhadap kesalahan mereka dan amat menyesali serta merasa berat hati atas perkara tersebut kerana ketakwaan mereka yang tinggi dan rasa takut yang mendalam kepada Allah.
Keadaan ini seperti yang disebut dalam sebuah atsar (direkodkan dalam kitab Sahih al-Bukhari dengan sanad yang sahih):
قَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: "إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ، يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَىٰ أَنْفِهِ، فَقَالَ بِهِ هَكَذَا".
(“Abdullah ibn Mas’ud berkata: Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seperti seseorang yang duduk di bawah sebuah gunung dan dia takut gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (pendosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia hanya menghalaunya begini (sambil menggerakkan tangannya).”)
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Da'awat, hadis no. 6308)
(٤){وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ}
“Kami telah meninggikan sebutan namamu.”
Iaitu, Allah ta’ala telah meninggikan darjatmu, dan mengangkat kedudukanmu di dunia dan akhirat. Allah ta’ala telah menjadikan namamu disebutkan bersama nama-Nya.
Mujahid berkata:
“Tidaklah Allah ta’ala disebut melainkan engkau (Rasulullah ﷺ) disebutkan bersamanya.”
Qatadah pula menyatakan:
“Allah ta’ala meninggikan nama Rasulullah ﷺ di dunia dan akhirat, sehingga tiada seorang khatib, orang yang bersyahadah, atau yang mendirikan solat melainkan mereka mengucapkan: ‘Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.’”
Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:
أتاني جبريل فقال لي يا محمد: إن ربك يقول: أتدري كيف رفعت ذكرك؟ قلت: الله تعالى أعلم، قال: إذا ذكرت ذكرت معي
“Jibril datang kepadaku dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanmu berfirman: ‘Tahukah engkau bagaimana Aku meninggikan namamu?’ Aku menjawab: ‘Allah Ta'ala lebih mengetahui.’ Lalu Jibril berkata: ‘Apabila Aku disebut, engkau juga disebut bersamaku.’”
Penjelasan dalam Tafsir al-Bahr:
Allah ta’ala mengandingkan nama Rasulullah ﷺ dengan nama-Nya dalam pelbagai bentuk:
Dalam kalimah syahadah: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.”
Dalam azan dan iqamat: Nama Rasulullah ﷺ disebut selepas nama Allah.
Dalam tasyahud dan khutbah: Nama Rasulullah ﷺ disebutkan dalam setiap amalan yang melibatkan zikir dan doa kepada Allah.
Allah ta’ala juga telah mengambil perjanjian dari para nabi dan umat mereka untuk beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ. Hal ini adalah pengiktirafan kepada kedudukan baginda sebagai penutup segala nabi dan rasul.
Hassan bin Thabit RA, penyair Rasulullah ﷺ, berkata:
“Allah mengandingkan nama Nabi dengan nama-Nya,
Apabila muazin mengucapkan syahadah lima waktu.
Allah telah mengambil sebahagian nama-Nya untuk menghormati Nabi,
Maka Zat Yang Di Arasy itu bernama ‘Maha Terpuji’, dan ini adalah Muhammad.”
(٥-٦){فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا}
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
{فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا}
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Yakni, selepas kesempitan pasti akan datang kelapangan, dan selepas kesukaran pasti ada jalan keluar.
Rasulullah ﷺ, sebagaimana disebutkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada permulaan surah ini, diberi hiburan (tasliyah) dan ketenangan oleh Allah Ta'ala agar hatinya menjadi tenteram dan harapannya bertambah kuat. Seolah-olah Allah berkata:
"Sesungguhnya Zat yang telah mengurniakan kepadamu nikmat-nikmat besar ini pasti akan menolongmu terhadap mereka, memuliakan urusanmu, dan menggantikan kesulitan yang kamu hadapi dengan kemudahan yang segera.”
Pengulangan ayat untuk penegasan. Oleh sebab itu, Allah ta’ala mengulanginya sekali lagi dengan menekankan:
{إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا}
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Tujuannya untuk memperkuatkan keyakinan dan memberi jaminan bahawa kelapangan pasti menyusul selepas kesempitan. Allah menegaskan agar Rasulullah ﷺ tidak bersedih dan tidak berputus asa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:
لَنْ يَغْلِبَ عُسْرٌ يُسْرَيْن
"Satu kesulitan tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Hadis ini memperkuatkan kefahaman bahawa setiap satu kesulitan akan diiringi dengan dua kemudahan, menjadikan ujian lebih ringan bagi orang yang bersabar.
Ayat ini menunjukkan sunatullah kehidupan: Allah tidak menurunkan kesusahan kecuali bersamanya tersimpan kemudahan — bukan selepasnya, tetapi bersamanya (مَعَ العسر يُسرا).
Ibn al-Qayyim menegaskan:
“Ujian tidak datang untuk menghancurkan, tetapi untuk membersihkan; kesusahan tidak hadir untuk menutup jalan, tetapi membuka jalan baru bagi hati untuk mengenal Allah.”
— (Madarij as-Sālikīn, 2/289)
Contoh dalam Kehidupan Seharian
a. Kesempitan ekonomi — lahirnya usaha dan doa
Apabila seseorang ditimpa kesempitan rezeki, di situlah Allah melatihnya untuk berusaha, bersabar dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya.
Daripada situ muncul:
rezeki yang tidak disangka,
ilham mencari peluang baru,
atau keberkatan kecil yang mencukupi keperluan.
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
— (Surah at-Ṭalāq: 2–3)
b. Sakit — menjadi sebab penghapusan dosa
Kesusahan sakit sering membawa kelapangan rohani. Ia melembutkan hati, menyedarkan hakikat dunia, dan membersihkan dosa.
Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حَزَنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tiada suatu keletihan, sakit, kesedihan, dukacita, kesusahan atau kesakitan yang menimpa seorang Muslim, bahkan duri yang mencucuknya, melainkan Allah menghapuskan sebahagian dosanya dengan sebab itu.”
— Riwayat al-Bukhārī (5641), Muslim (2573)
c. Tekanan hidup — lahirnya kekuatan jiwa
Kadang seseorang tidak mengenal potensi dirinya melainkan ketika diuji.
Dalam tekanan, Allah menumbuhkan kesabaran, kematangan, dan ketabahan yang sebelumnya tidak disedari.
Imam al-Shāfi‘ī berkata:
“Barang siapa yang ingin hidupnya seperti mutiara, maka bersabarlah seperti sabarnya batu karang yang dipukul ombak.”
d. Kejatuhan — membuka jalan menuju kejayaan
Ramai orang menemui kejayaan selepas kegagalan.
Kekecewaan membuat seseorang menilai semula hidup dan memperbetulkan arah.
عَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu.”
— (Surah al-Baqarah: 216)
4. Nilai Tarbawi dan Pesanan Jiwa
Setiap ujian mempunyai kemudahan yang menyertainya.
Kadang kemudahan itu bukan fizikal, tetapi dalam bentuk kesedaran, ketenangan, atau hikmah.
Jangan berputus asa di tengah kesempitan.
Kerana janji Allah bukan selepas kesusahan, tetapi bersamanya:
“Ma‘a al-‘usri yusrā” — bukan ba‘da al-‘usr.
Ujian adalah jalan ke arah kematangan iman.
Tiada jiwa yang menjadi kuat tanpa diuji, dan tiada hati yang mengenal Allah tanpa melalui kesusahan.
(٧){فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ}
Maksudnya: “Apabila engkau telah selesai dari suatu urusan, maka bersungguh-sungguhlah dalam ibadah.”
Yakni, wahai Muhammad, apabila engkau telah selesai daripada menyeru manusia kepada agama Allah dan melaksanakan tugas dakwah, maka berusahalah dengan sungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah, Sang Pencipta. Dan apabila urusan dunia telah selesai, maka berikan dirimu kepada urusan akhirat dengan menumpukan sepenuh tenaga untuk mencapainya.
(٨){وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرْغَبْ}
“Dan hanya kepada Tuhanmu engkau berharap.”
Yakni, jadikanlah tumpuan utama, cita-cita, dan keinginanmu hanya kepada apa yang ada di sisi Allah, bukan kepada dunia yang fana ini.
Menurut Tafsir Ibn Kathīr:
“Apabila engkau telah selesai dari urusan dunia dan keperluan hidup, maka bersungguh-sungguhlah dalam ibadah seperti solat, doa, dan munajat.”
— (Tafsīr Ibn Kathīr, 4/410)
Dalam Tafsir al-Qurṭubī:
“Apabila engkau selesai dari urusan dakwah dan penyampaian risalah, maka sibukkanlah dirimu dengan ibadah dan doa kepada Tuhanmu.”
— (Tafsīr al-Qurṭubī, 20/103)
Ulasan Tafsir al-Sa‘dī:
“Ayat ini menunjukkan bahawa seorang mukmin tidak boleh membiarkan masa kosong tanpa amal. Selesai satu ketaatan, dia berpindah kepada ketaatan yang lain.”
— (Tafsīr al-Sa‘dī, hlm. 858)
Nilai Tarbawi
1. Islam tidak mengenal masa rehat daripada ketaatan
Ayat ini melatih kita agar tidak membiarkan waktu kosong tanpa amal soleh.
Setiap kali selesai satu urusan, segeralah gantikan dengan urusan yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selesai bekerja , teruskan dengan solat dan zikir.
Selesai belajar , teruskan dengan tadabbur dan muhasabah.
Selesai dakwah , teruskan dengan doa dan istighfar.
Imam Hasan al-Baṣrī berkata:
“Apabila engkau selesai daripada satu amal ketaatan, maka gantilah dengan amal yang lain. Hati tidak akan hidup kecuali dengan berterusan dalam ibadah.”
— (Hilyat al-Awliyā’, 2/144)
2. Gunakan masa lapang untuk ibadah
Ayat ini juga menegaskan nilai pengurusan masa dalam tarbiyyah iman.
Manusia sering leka setelah selesai satu tugasan; tetapi bagi orang beriman, masa lapang adalah peluang untuk beramal.
Rasulullah ﷺ bersabda:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi padanya ialah kesihatan dan masa lapang.”
— Riwayat al-Bukhārī (6412)
3. Dakwah dan ibadah saling melengkapi
Rasulullah ﷺ dahulu bersungguh dalam dakwah, tetapi apabila malam tiba, Baginda menegakkan ibadah malam sehingga bengkak kakinya. Ayat ini turun sebagai penegasan agar setelah selesai urusan umat, Rasulullah ﷺ menumpukan diri kepada ibadah dan munajat kepada Allah.
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ
“Dan pada sebahagian malam, bangunlah bertahajud sebagai ibadah tambahan bagimu.”
— (Surah al-Isrā’: 79)
4. Sumber kekuatan ialah pengabdian kepada Allah
Kekuatan seorang mukmin bukan hanya datang daripada usaha zahir, tetapi daripada hubungan batin dengan Allah. Apabila seseorang selesai bekerja, berjuang atau berdakwah, dia perlu kembali kepada Allah untuk memperbaharui tenaga rohani.
Ibn al-Qayyim berkata:
“Setiap kali engkau selesai daripada amal dunia, kembalilah kepada Allah dalam ibadah, agar ruhmu tidak letih dan imanmu tidak kering.”
— (al-Fawā’id, hlm. 49)
Khulasah Tadabbur Surah Al-Insyirah
Surah Al-Insyirah (سورة الشرح), juga dikenali sebagai Surah Alam Nasyrah, membawa mesej penghiburan, motivasi, dan pengajaran yang mendalam kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Berikut adalah iktibar utama yang boleh diambil daripada tadabbur surah ini:
1. Allah ta’ala Melapangkan Hati Orang yang Beriman
Hati yang dilapangkan oleh Allah ta’ala dipenuhi dengan iman, ketenangan, dan kesabaran. Ini adalah nikmat besar yang diberikan kepada hamba-Nya yang taat. Ketika menghadapi ujian hidup, kita perlu berdoa agar Allah ta’ala melapangkan hati, kerana dengan hati yang lapang, seseorang dapat menghadapinya dengan tenang.
2. Allah ta’ala Meringankan Beban Hamba-Nya
Allah ta’ala tidak membebani hamba-Nya dengan sesuatu yang melebihi kemampuan mereka. Dalam kehidupan, kita akan menghadapi tanggungjawab yang berat, tetapi yakinlah bahawa Allah ta’ala akan memberikan kekuatan dan bantuan untuk meringankannya jika kita bertawakal kepada-Nya.
3. Allah ta’ala Mengangkat Kedudukan Rasulullah ﷺ
Rasulullah ﷺ dimuliakan oleh Allah ta’ala, dan namanya disebut bersama nama Allah ta’ala dalam syahadah, azan, dan semua ibadah utama umat Islam. Kita perlu mencontohi Rasulullah ﷺ dalam akhlak, perjuangan, dan kesungguhan baginda dalam menyampaikan risalah.
4. Bersama Kesukaran Ada Kemudahan.
Janji Allah bahawa setiap kesukaran akan diiringi dengan dua kemudahan mengajar kita untuk tidak berputus asa. Ujian hidup adalah sebahagian daripada tarbiah Allah, dan ia adalah peluang untuk meningkatkan keimanan dan mendekatkan diri kepada-Nya.
5. Fokus kepada Ibadah Setelah Selesai Urusan Dunia
Selepas menyelesaikan urusan dunia, tumpukan tenaga dan masa untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah. Harapan kita mestilah hanya kepada Allah ta’ala, bukan kepada dunia yang fana ini. Fokus kepada akhirat adalah kunci kejayaan sejati.
Penutup
Surah Al-Insyirah adalah surah penghiburan dan motivasi, terutama kepada orang yang sedang menghadapi kesulitan dalam hidup. Ujian adalah sebahagian daripada kehidupan, tetapi Allah memberikan jaminan bahawa di sebalik kesukaran pasti ada kemudahan. Orang beriman perlu melatih diri untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang kecil mahupun besar, bersabar menghadapi ujian, dan berusaha mengarahkan seluruh tenaga dan harapan hanya kepada Allah. Dengan tadabbur surah ini, kita diajar untuk menanam keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang bersabar dan bertawakal. Hidup mungkin sukar, tetapi rahmat Allah tidak pernah jauh.
Faedah Untuk Diamal
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ "
"Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."
(Surah at-Talaq: 2-3,)
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Barang siapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah pasti akan selalu memberikannya jalan keluar dari setiap kesempitan dan kelapangan dari segala kegundahan serta Allah akan memberikan rezki kepadanya dari arah yang tidak ia sangka-sangka."
(HR Abu Daud, 1297)