Koleksi ABi
Nota Tadabbur Surah Al 'Adiyat (سورة العاديات)
Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.
Nota Tadabbur Surah Al 'Adiyat (سورة العاديات)
(Rujukan kitab tafsir Safwatu At Tafaasir, Syeikh Ali As Sabouni dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an, Sheikh Abdullah Basmeih. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM)
Ayat 1-11
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا ﴿١﴾
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,
فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا ﴿٢﴾
Serta mencetuskan api dari telapak kakinya,
فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا ﴿٣﴾
Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh,
فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا ﴿٤﴾
Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu,
فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا ﴿٥﴾
Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh;
إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ ﴿٦﴾
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
وَإِنَّهُ عَلَىٰ ذَٰلِكَ لَشَهِيدٌ ﴿٧﴾
Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian;
وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ ﴿٨﴾
Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
أَفَلَا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ ﴿٩﴾
(Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?
وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ ﴿١٠﴾
Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?
إِنَّ رَبَّهُم بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّخَبِيرٌ ﴿١١﴾
Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.
Pendahuluan Surah Al-‘Adiyat
Surah al-‘Adiyat merupakan surah Makkiyyah yang terdiri daripada sebelas ayat. Ia tergolong dalam kelompok surah-surah pendek di bahagian akhir al-Qur’an yang padat dengan peringatan akhirat dan tajam dalam nada teguran. Surah ini dinamakan al-‘Adiyat bersempena dengan kuda-kuda perang yang disebut dalam sumpah pembukaan surah.
Menurut susunan mushaf, surah ini berada selepas Surah Az-Zalzalah dan sebelum Surah Al-Qari‘ah. Ulama-ulama tafsir seperti Syeikh Ali As-Sabuni dan Syeikh Abdullah Basmeih menyatakan bahawa Surah al-‘Adiyat bersama tiga surah lain—Surah Az-Zalzalah, Surah al-Qari‘ah dan Surah at-Takathur—merupakan satu rangkaian yang saling berkait antara kehidupan dunia dan hakikat akhirat.
Surah ini dimulai dengan lima sumpah tentang gambaran kuda perang yang berlari kencang, menyerbu musuh dengan penuh keberanian. Sumpah ini bukan sekadar puitis, tetapi sarat dengan mesej tarbawi dan balaghah: Allah menggambarkan kepatuhan, kesungguhan, dan keberanian seekor binatang (kuda) yang taat kepada tuannya, lalu dijadikan perbandingan dengan sikap manusia yang sebaliknya—tidak mensyukuri nikmat Tuhannya dan terlalu cinta kepada dunia.
Dalam ayat-ayat berikutnya, Allah Ta‘ala menyingkap realiti hakiki manusia: sifat kufur nikmat, tamak kepada harta, dan kelalaian terhadap akhirat. Manusia bersungguh-sungguh mengejar dunia seolah-olah tiada hari pembalasan. Justeru, surah ini mengakhiri dengan gambaran kedahsyatan Hari Kiamat—apabila semua yang terkandung di dalam kubur dikeluarkan, segala isi hati dibongkar, dan manusia diadili dengan ilmu Allah yang Maha Teliti dan Maha Halus.
Surah al-‘Adiyat mengajar kita untuk bermuhasabah: Apakah kita setia dan patuh seperti kuda-kuda perang itu dalam melaksanakan perintah Tuhan kita, ataukah kita menjadi manusia yang al-Kanud—sangat tidak bersyukur, tamak, dan lalai dari mengingati Allah dan akhirat?
Tafsir dan tadabbur
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا ﴿١﴾
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,
Allah ta'ala bersumpah dengan kuda-kuda perang yang cergas tangkas dalam menyerang musuh. Sehingga didengari hembusan rengusan nafasnya dengan suara yang jelas termengah-mengah. Jadi, orang Arab yang sedang membaca dan mendengar ayat ini, mereka sedang membayangkan kuda-kuda itu sedang berlari dengan laju, fokus dengan bunyi nafas kuda-kuda itu yang sedang bernafas dengan laju dan mengeluarkan bunyi kuda yang kita dapat bayangkan itu.
Kalimah ضَبحًا ini juga memberi isyarat bahawa kuda-kuda itu sedang bergerak dan mereka sedang fokus dan tidak berehat pun. Kerana tujuan mereka di depan dan mereka tidak akan berhenti selagi mereka belum menyelesaikan tugas mereka.
فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا ﴿٢﴾
Serta mencetuskan api dari telapak kakinya,
Dan larian hebat kuda-kuda itu juga menghasilkan percikan api dari tapak kakinya yang berladam bergesel dengan batu-batuan. Kalimah قَدحًا bermaksud pukulan yang amat kuat. Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.
فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا ﴿٣﴾
Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh,
Dan pasukan kuda itu juga menyerang dan menyerbu musuh dengan berani di waktu subuh sebelum terbitnya matahari. Biar pun dalam kegelapan tanpa cahaya. Maknanya, mereka menyerang waktu subuh, tapi kenapa serang masa subuh? Ini menghairankan kerana kalau bertujuan serang hendap, selalunya dilakukan pada malam hari, atau pada waktu gelap. Tapi mereka serang waktu subuh pula, iaitu pada waktu orang sudah mula bangun dan sudah bersedia kalau untuk mempertahankan diri. Mereka serang masa subuh kerana mereka hendak mangsa serangan mereka itu tahu yang mereka datang. Waktu mereka dalam perjalanan itu mereka boleh dilihat dari jauh kerana debu-debu yang berterbangan sebagai tanda mereka datang.
فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا ﴿٤﴾
Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu,
Maka serbuan pasukan kuda itu menyebabkan kepulan-kepulan debu berterbangan meliputi udara dengan rupa yang hebat.
Kalimah نَقعًا khusus digunakan dalam bahasa Arab apabila sesuatu bergerak dengan laju sampai menyebabkan tinggal kesan debu yang naik ke udara. Macam kereta, kuda dan sebagainya yang bergerak di padang pasir. Apabila sudah bergerak dan sudah lepas, masih nampak habuk-habuk itu di udara.
فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا ﴿٥﴾
Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh;
Pasukan kuda yang menyerang itu menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang dengan penuh keberanian tanpa memperdulikan bahaya tindakan mereka itu.
Allah ta'ala bersumpah dengan kehebatan kuda-kuda perang itu sebagai membesarkan rupa kejadian, ciri-ciri kehebatan dan keberanian, kesungguhan dan juga kepatuhan dan ketaatan mereka kepada tuan dalam menghadapi medan perang. Kalimah اْلَعاِديَاِت yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kuda perang betina. Kuda perang betina lebih disukai oleh orang Arab waktu itu kerana kuda betina lebih laju dan lebih tangkas.
Ada pun subjek utama yang mahu dikemukakan oleh Allah ta'ala selepas menarik perhatian manusia dengan sumpahNya tadi ialah sikap dan perangai manusia sebagaimana disebut dalam ayat berikutnya. Sebagai satu bandingan yang berbeza dengan kepatuhan dan kesungguhan kuda-kuda dalam melaksanakan tugas mereka kepada tuannya.
إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ ﴿٦﴾
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
Sesungguhnya manusia sangat mengingkari nikmat-nikmat Tuhannya, dengan bersangatan kufur iaitu tidak mensyukuri nikmat-nikmat itu. Allah ingatkan manusia degil yang mereka itu adalah hamba, mereka juga ada Tuan juga, tapi malangnya manusia itu tidak taat langsung – jauh berbeza dengan kuda-kuda kebanggaan mereka itu. Kata-kata ini datang secara tiba-tiba yang amat menusuk kalbu dan tidak sangka datangnya, menyebabkan pendengar pasti bungkam tidak dapat berkata-kata lagi.
Kalimah كَنودٌ memang ada persamaan dengan كفور tapi tidak sama dengan tepat. Ada persamaan antara keduanya dan yang sama antara keduanya adalah perasaan tidak bersyukur itu – tidak menghargai nikmat yang telah diberikan. Namun kalimah كَنودٌ bermaksud SANGAT-SANGAT tidak menghargai. Jadi ini bukan tidak menghargai dalam kadar biasa, tapi jenis yang sangat teruk. Mereka yang ada sifat كَنودٌ ini adalah jenis yang ada sahaja benda yang dia tidak puas hati dalam hidupnya, padahal sudah banyak nikmat yang dia sudah dapat tapi dia masih berterusan merungut.
وَإِنَّهُ عَلَىٰ ذَٰلِكَ لَشَهِيدٌ ﴿٧﴾
Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian;
Sedangkan sesungguhnya manusia sedar dan menyaksikan sendiri bersangatan kufurnya mereka dalam kehidupan. Ini disebabkan nafsu mereka yang sentiasa tidak puas dengan apa yang ada. Nafsu yang sering membutakan mata hati manusia.
وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ﴿٨﴾
Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
Dan juga disebabkan mereka bersangatan cinta dan loba terhadap harta dan rakus mengumpulkannya.
Kalimah لِحُبِّ bermaksud ‘kerana cinta’. Allah tidak gunakan kalimah للخير, tapi Allah beritahu masalah itu terjadi kerana cinta yang keterlaluan itu. Oleh itu, masalah manusia sebenarnya adalah kerana cintanya yang bersangatan kepada harta, dan kepada dunia.
Kalimah حُبِّ Ianya apabila kita lihat sesuatu itu baik untuk kita, maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Oleh itu, ada dua perkara yang terlibat dalam حُبِّ:
1 – sangkaan yang sesuatu itu baik. – sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Atau berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.
2- Kalimah الخَيرِ bermaksud ‘kebaikan’, jadi kenapa Allah ta’ala menegur kalau suka dan cinta kepada kebaikan pula?
Allah ta’ala sebenarnya ‘menterjemahkan’ kepercayaan kaum yang engkar itu. Mereka yang merasakan harta dan kekayaan itu adalah ‘kebaikan’ dan tidak ada yang lebih baik darinya. Allah ta’ala sebenarnya mengejek mereka dan fahaman mereka. Alangkah salah sekali fahaman mereka itu. Mereka hanya melihat kebaikan dalam kesenangan dan kekayaan sahaja. Dan kerana hendak mendapatkan kemewahan dan harta itu, mereka sanggup buat apa-apa sahaja – sampai sanggup mengambil daripada hak orang lain, sanggup menipu, sanggup mencuri dan seumpamanya.
Selepas Allah ta'ala menyenaraikan keburukan perilaku dan sikap buruk manusia, Dia mengingatkan pengakhiran kehidupan manusia.
أَفَلَا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ ﴿٩﴾
(Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?
(Jadi Allah seolahnya bertanya kepada mereka): Tidakkah mereka sedar yang mereka akan dikeluarkan dari bumi itu setelah mereka mati dan mereka akan dibawa ke pengadilan Allah taala? Tidakkah manusia tahu bahawa semua yang di dalam kubur itu akan dikeluarkan semua sekali?
Kalimah بُعثِرَ bermaksud perbuatan mengeluarkan sesuatu dari bekas, ibarat mengeluarkan barang dari dalam beg, kadang-kadang akan dikeluarkan segala barang yang lain, walaupun yang dicari adalah satu barang sahaja. Namun dipunggah habis semua barang yang ada dalam beg itu.
Jadi Allah ta’ala bertanya kepada mereka: “Tidakkah mereka sedar yang mereka akan dikeluarkan dari bumi itu setelah mereka mati dan mereka akan dibawa ke pengadilan Allah taala? Tidakkah manusia tahu bahawa semua yang di dalam kubur itu akan dikeluarkan semua sekali?
وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ ﴿١٠﴾
Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?
Allah ta'ala akan mengeluarkan dan mendedahkan apa yang dalam dada. Itu termasuk perasaan tidak taat kepada Allah dan kecintaan bersangatan kepada dunia.
إِنَّ رَبَّهُم بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّخَبِيرٌ ﴿١١﴾
Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui bahkan Maha Halus PengetahuanNya dengan segala apa yang mereka lakukan ketika di dunia. Dan Dia akan membalasi keengkaran dan kekufuran mereka dengan balasan yang memeritkan.
Jika di dalam Surah Zalzalah Allah ta’ala telah memberitahu bahawa segala perbuatan manusia sebesar zarrah pun akan ditunjukkan balasannya kepada mereka, maka dalam ayat ini sekarang, Allah ta’ala memberitahu yang Dia Maha Tahu apa yang mereka telah lakukan. Mereka tidak akan dapat menyorokkan langsung apa sahaja yang mereka telah lakukan. Allah ta’la bukan sekadar beritahu sahaja, tapi Allah akan menghukum mereka atas perbuatan tangan mereka dan mendedahkan segala rahsia hati mereka itu.
يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ ﴿الطارق: ٩﴾
Pada hari dinampakkan segala rahsia, (9)
(At Thariq: 9)
Penutup dan Khulasah Tadabbur Surah Al-‘Adiyat
Surah al-‘Adiyat merupakan gambaran yang sangat tajam dan mendalam tentang realiti manusia. Ia menonjolkan kontras antara kuda perang yang taat dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi arahan tuannya, dengan manusia yang lalai dan kufur terhadap Tuhannya. Lima ayat sumpah yang memulakan surah ini bukan sekadar hiasan bahasa, tetapi satu peringatan tentang nilai kesetiaan, keberanian, dan kepatuhan yang menjadi lambang kejayaan.
Surah ini mengingatkan manusia bahawa kebinasaan mereka bukan hanya kerana kejahatan luar, tetapi berpunca dari sikap dalaman—iaitu tidak menghargai nikmat, terlalu cinta kepada harta, dan menyangka bahawa dunia adalah tujuan. Ketamakan dan kelalaian menjadikan manusia lupa akan kebangkitan, hisab, dan balasan Allah Ta‘ala.
Pada akhirnya, Allah menegaskan bahawa segala isi kubur akan dibangkitkan, isi hati akan didedahkan, dan semua manusia akan diadili oleh Tuhan yang Maha Mengetahui secara menyeluruh. Tiada sesuatu pun yang akan terlepas dari pemerhatian dan balasan-Nya.
Khulasah Tadabbur
Allah ta’ala bersumpah dengan makhluk ciptaan-Nya yang menggambarkan ketaatan dan kekuatan, untuk membangkitkan perhatian terhadap mesej utama.
Manusia digambarkan sebagai makhluk yang kufur nikmat, walaupun menerima pelbagai rahmat dari Tuhannya.
Cinta terhadap harta disebut sebagai punca utama kerosakan dan kelalaian manusia.
Hari Kiamat pasti datang, dan pada hari itu segala rahsia akan dibongkar dan dihitung tanpa kecuali.
Allah Maha Mengetahui segala isi hati dan amalan manusia—baik yang tersembunyi mahupun yang nyata.
Justeru, surah ini menyeru kita untuk memeriksa hati, menilai kembali tujuan hidup, serta menyedari bahawa setiap langkah dan keputusan akan dinilai di sisi Allah. Apakah kita sedang menuju redha-Nya, atau sedang larut dalam kelalaian dunia yang sementara?