Koleksi ABi
Nota Tadabbur Surah Ad Dhuha 1
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
Nota Tadabbur Surah Ad Dhuha 1
(Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an” oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tafsir Ibnu Katsir dan Safwatu At Tafaasir oleh As Sabouni)
Surah Ad-Dhuha ( 1-11 )
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
وَالضُّحَىٰ ﴿١﴾
Demi waktu dhuha,
وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ ﴿٢﴾
Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ ﴿٣﴾
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ ﴿٤﴾
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ ﴿٥﴾
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ ﴿٦﴾
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ ﴿٧﴾
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ ﴿٨﴾
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ ﴿٩﴾
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ ﴿١٠﴾
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ ﴿١١﴾
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Pendahuluan Surah Adh-Dhuhā (الضحى)
Surah Adh-Dhuhā adalah surah ke-93 dalam al-Qur’an, terdiri daripada 11 ayat, dan merupakan surah Makkiyyah yang diturunkan pada saat yang sangat penting dalam kehidupan Rasulullah ﷺ — iaitu ketika baginda mengalami fatrah al-wahyi, tempoh terhentinya wahyu buat sementara waktu. Ketika wahyu tidak turun beberapa waktu, musyrikin Makkah memperolok-olokkan Rasulullah ﷺ, mengatakan bahawa Allah telah meninggalkan dan membenci baginda. Maka, turunlah surah ini sebagai satu bentuk hiburan, belaian kasih sayang, dan penguat hati daripada Allah Ta‘ala kepada kekasih-Nya ﷺ.
Surah ini dimulai dengan sumpah “وَالضُّحَىٰ” (Demi waktu Dhuha) dan “وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ” (dan demi malam apabila ia sunyi sepi) — dua waktu yang penuh makna, menggambarkan irama kehidupan: terang dan gelap, harapan dan kegelisahan, ujian dan kurniaan. Melalui surah ini, Allah Ta‘ala menegaskan bahawa baginda tidak ditinggalkan, bahkan sedang dipersiapkan untuk menerima anugerah yang lebih besar. Surah ini memaparkan rahmat Ilahi yang melimpah, serta mengingatkan Rasulullah ﷺ (dan kita semua) bahawa ujian dan kesedihan hanyalah sementara, sedangkan ganjaran dan kasih sayang Allah kekal selama-lamanya.
Inilah surah harapan dan pemulihan. Ia menjadi sumber ketenangan bagi jiwa-jiwa yang merasa gelap, sedih, ditinggalkan, atau dipandang hina. Ia menyampaikan mesej:
“Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak membencimu.”
Asbabun Nuzul
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Na'im, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Al-Aswad ibnu Qais yang mengatakan bahwa ia pernah mendengar Jundub menceritakan bahwa Nabi ﷺ mengalami sakit selama satu atau dua malam hingga Baginda ﷺ tidak melakukan qiyamul lail. Maka datanglah kepadanya seorang wanita dan berkata, "Hai Muhammad, menurut hematku syaitanmu itu tiada lain telah meninggalkanmu," maksudnya malaikat yang membawa wahyu kepadanya. Maka Allah ta'ala menurunkan firman-Nya: (Adh-Dhuha: 1-3)”
Tafsir dan tadabbur
وَالضُّحَىٰ ﴿١﴾
Demi waktu dhuha,
وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ ﴿٢﴾
Dan malam apabila ia sunyi-sepi,
Allah ta'ala bersumpah dengan waktu dhuha, iaitu waktu permulaan siang ketika matahari sedang meninggi. Allah juga bersumpah dengan waktu malam yang sedang semakin gelap dan menutupi segala sesuatu dengan kegelapan. Berkata Imam Ibnu Katsir : Ini adalah satu sumpah dari Allah ta'ala dengan waktu dhuha dan apa sahaja di dalamnya yang berupa cahaya, dan awaktu malam apabila semakin sunyi dan gelap, sebagai satu bukti kekuasaan Allah ta'ala yang zahir.
Allah ta’ala bersumpah dengan sebahagian makhluknya, untuk menunjukkan penciptaan-Nya, dan juga merupakan isyarat kepada keutamaan dan kemanfaatan makhluk tersebut, agar dijadikan pelajaran bagi manusia.
Dan diantara contoh pada bahagian ini adalah dalam Al-Lail (92): 1:
وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى ﴿١)
“Demi malam apabila menutupi (cahaya siang)”.[1]
Dan juga dalam At-Tin (95): 1:
وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ﴿١)
“Demi (buah) Tin dan (buah) zaitun”.
Allah ta’ala bersumpah dengan apa yang Dia kehendaki, namun bagi seorang hamba (makhluk) tidak boleh bersumpah kecuali dengan nama Allah. Kerana apabila bersumpah dengan selain Allah, maka dia termasuk kepada golongan syirik. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah ﷺ yang artinya:
“Ibnu Umar ra. mendengar orang bersumpah : tidak, demi ka’bah, Ibnu Umar memperingatkannya: “Jangan bersumpah dengan nama selain nama Allah, kerana saya mendengar Rasulullah ﷺ . bersabda; “Siapa yang bersumpah dengan nama selain Allah, maka telah kafir atau musyrik.” (HR At-Tirmizi)
Pengertian qasam secara terminologi adalah mengikat jiwa (hati) agar tidak melakukan atau melakukan sesuatu, dengan suatu makna yang dipandang besar, baik secara hakiki maupun secara i’tiqadi, oleh orang yang bersumpah itu. Lebih jauh, sebahagian besar ayat Al-Quran yang memuat Qasam adalah ayat-ayat makkiyyah (diturunkan selama periode Mekkah dalam kehidupan dakwah Nabi Suci ﷺ ), ini disebabkan kenyataan terdapatnya aktiviti penentangan dari masyarakat Mekah terhadap keaslian dan kebenaran Islam. Maka adalah kewajaran adanya jika Al-Quran memuat begitu banyak sumpah dalam dirinya, selain untuk menarik perhatian linguistik masyarakat Arab, qasam juga dimaksudkan sebagai indikasi tentangan intelektual bagi segala upaya penentangan terhadap kebenaran al-Qur’an.
Qasam merupakan salah satu penguat perkataan yang masyhur untuk memantapkan dan memperkuat kebenaran sesuatu di dalam jiwa. Dalam penurunan al-Qur’an ada yang meragukan, ada yang mengingkari dan ada pula yang memusuhi. Kerana itu dipakailah qasam dalam Kalamullah, guna menghilangkan keraguan dan kesalahpahaman, membangun argumentasi, menguatkan khabar dan menetapkan hukum dengan cara paling sempurna.
Menuruta al-Imam Abu Qasim al-Qusyairi, bahwa Allah menetapkan sumpah dalam al-Qur’an dengan maksud untuk menyempurnakan sekaligus untuk memperkuat hujjah-Nya. Dengan demikian hukum diperkuatkan dengan dua hal, iaitu melalui saksi dan sumpah. Menurut Subkhi Saleh, surah-surah al-Qur’an yang dimulai dengan sumpah-sumpah Allah dengan alat sumpah yang digunakannya, diantaranya: malaikat, matahari, bintang, dan sebagainya, pada hakikatnya adalah di samping mengandung nilai sastra yang sangat tinggi, juga untuk menggugah para pendengarnya, terutama yang kelihatan ragu, apalagi engkar, agar ia mahu kembali memperhatikan berita yang datang sesudah kata sumpah itu.
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ ﴿٣﴾
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
Tidaklah Tuhanmu Wahai Muhammad meninggalkanmu sejak Dia memilihmu (menjadi nabiNya), dan Dia tidak membencimu sejak Dia mengasihimu. (Ayat ) Ini merupakan penolakan terhadap tuduhan musyrikin ketika mana mereka berkata: "Tuhannya telah meninggalkannya", dan ianya merupakan jawapan dari sumpah (di awal surah).
وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ ﴿٤﴾
Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
Benar-benarlah kehidupan akhirat itu terlebih baik bagi mu wahai Muhammad daripada kehidupan dunia ini. Kerana kehidupan akhirat itu kekal dan kehidupan dunia itu binasa.
Kerana itulah dalam satu doanya Rasululullah ﷺ menyebut:
(اللّهُمّ لا عِيشَ إلّا عِيشُ الآخِرة)
"Wahai Allah, tiada kehidupan sebenar melainkan kehijdupan akhirat".
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ ﴿٥﴾
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
Di akhirat nanti, nescaya Allah akan mengurniakan padamu pelbagai pahala, kemuliaan, syafaat dan sebagainya sehingga engkau akan merasa puas dan redha.
Berkata Ibnu Abbas RA, " Iaitu syafaat bagi ummatnya sehingga dia redha. Sebagaimana diriwayatkan, "Sesungguhnya Nabi ﷺ menyebut ummatnya, 'Ummatku! Ummatku' dan ia menangis', maka Allah berfirman, 'Wahai Jibril, pergilah menemui Muhammad dan tanyalah kenapa ia menangis: (Kemudian Allah berkata) : 'Wahai Jibril, temuilah Muhammad dan katakan bahawa Kami akan membuatmu senang dengan umatmu dan tidak akan membuatmu sedih kerananya'.
( HR Muslim, 301)
Dari Abu Hurairah RA dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Setiap Nabi memiliki doa yang mustajab, maka setiap nabi menyegerakan doanya, dan sesungguhnya aku menyembunyikan doaku sebagai syafa'at bagi umatku pada hari kiamat. Dan insya Allah syafa'atku akan mencakup orang yang mati dari kalangan umatku yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun."
Kalimah (الأولى) membawa pengertian yang meliputi kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Di dunia Allah memberikan pertolongan dan kemenangan terhadap musuh-musuh, ramai pengikut dan banyak kejayaan pembebasan dan meninggikan agamaNya serta menjadikan ummatnya sebaik-baik ummat. Sementara di akhirat Allah mengurniakannya syafaat yang umum, maqam kedudukan yang tinggi, dan berbagai lagi kebaikan baik di dunia mahu pun di akhirat.
( Rujukan Kitab Sofwatu At Tafaasir oleh Syeikh Ali As Sabouni )
{أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيماً فآوى}
“Tidakkah dulu engkau wahai Muhammad seorang yatim ketika waktu kecil, maka Allah tinggalkan (memberi tempat perlindungan) kepada bapa saudaramu Abu Talib dan mempersatukanmu kepadanya?(6)
Berkata Imam Ibnu Katsir:
“Demikian itu kerana ayah Baginda wafat sejak Baginda masih berada dalam kandungan ibunya.Kemudian ibunya (iaitu Aminah binti Wahab) wafat pula saat Baginda berusia enam tahun. Sesudah itu Baginda berada dalam pemeliharaan datuknya (iaitu Abdul Muttalib) hingga datuknya wafat ketika Baginda masih berusia lapan tahun. Kemudian Baginda dipelihara oleh bapa saudaranya yang bernama Abu Talib, yang bersikap terus-menerus melindunginya, menolongnya, meninggikan kedudukannya, dan mengagungkannya serta melindunginya dari gangguan kaumnya sesudah Allah ta’ala mengangkatnya menjadi seorang rasul dalam usia empat puluh tahun. Perlu diketahui bahwa Abu Talib adalah pengikut agama kaumnya yang menyembah berhala-berhala, dan Nabi ﷺ tidak terpengaruh, yang hal ini tiada lain hasil keberkatan takdir Allah dan pemeliharaanNya yang baik.”
{وَوَجَدَكَ ضَآلاًّ فهدى}
“Dia mendapati engkau tidak mengetahui tentang syariat dan agama Allah, maka Dia memberikan engkau petunjuk berupa wahyu.”(7)
وَكَذلِكَ أَوْحَيْنا إِلَيْكَ رُوحاً مِنْ أَمْرِنا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتابُ وَلَا الْإِيمانُ وَلكِنْ جَعَلْناهُ نُوراً نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشاءُ مِنْ عِبادِنا [الشورى: 52[
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada wahyu (Al-Qur'an) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al-Qur'an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Qur’an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami.
(Asy-Syura: 52)
"Dalam Keadaan Bingung (ضَالًّا):"
Istilah "ضَالًّا" di sini bukan bermaksud sesat dalam makna maksiat atau menyimpang dari agama, kerana Rasulullah ﷺ telah terpelihara dari dosa sejak lahir (عصمة الأنبياء).
Sebaliknya, ia membawa makna bahawa Rasulullah ﷺ, sebelum menerima wahyu, berada dalam keadaan tidak mengetahui kebenaran secara sempurna. Baginda mencari kebenaran tetapi belum diberi petunjuk yang jelas melalui wahyu.
Contoh: Rasulullah ﷺ biasa menyendiri di Gua Hira' untuk bertafakur dan merenung tanda-tanda kekuasaan Allah, menunjukkan pencarian terhadap kebenaran.
"Lalu Dia Memberikan Petunjuk (فَهَدَى):"
Allah ta’ala memberikan petunjuk kepada Rasulullah ﷺ melalui wahyu dan kenabian, yang menuntun baginda kepada kebenaran mutlak.
Petunjuk ini merangkumi:
Penyempurnaan agama Islam sebagai panduan hidup.
Misi kerasulan untuk membimbing umat manusia kepada jalan Allah.
Di antara ulama ada juga yang mengatakan bahwa makna yang dimaksud ialah: “Sesungguhnya Nabi ﷺ pernah tersesat di lereng-lereng pegunungan Mekah saat ia masih kecil, kemudian ia dapat pulang kembali ke rumahnya. Menurut pendapat yang lain, sesungguhnya ia pernah tersesat bersama bapa saudaranya di tengah jalan menuju ke negeri Syam. Saat itu Nabi ﷺ mengendarai unta betina di malam yang gelap, lalu datanglah iblis yang menyesatkannya dari jalur jalannya. Maka datanglah Malaikat Jibril yang langsung meniup iblis hingga terpelanting jauh sampai ke negeri Habsyah. Kemudian Jibril meluruskan kembali kendaraan Nabi ﷺ ke jalan yang dituju.
{وَوَجَدَكَ عَآئِلاً فأغنى}
“ Dia mendapati engkau faqir berhajat maka Dia cukupkan engkau dari berhajat kepada manusia.”(8)
Konteks "Miskin" (عَائِلًا):
Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah ﷺ sebelum menerima wahyu dan kenabian berada dalam keadaan kekurangan dari segi material.
Istilah "عَائِلًا" merujuk kepada seseorang yang berada dalam keadaan serba kekurangan atau bergantung kepada orang lain untuk keperluan hidup.
"Lalu Dia Memberikan Kekayaan" (فَأَغْنَى):
Allah memberikan kecukupan kepada Rasulullah ﷺ dengan pelbagai cara. Antara kekayaan yang dimaksudkan ialah:
Kekayaan jiwa: Allah memberikan kekayaan iman dan kesyukuran yang memenuhi hati Rasulullah ﷺ.
Rezeki duniawi: Allah mempermudahkan kehidupan Rasulullah ﷺ dengan perniagaan Khadijah binti Khuwailid dan perkahwinan baginda dengannya, yang memberikan kestabilan kewangan.
Kekayaan sokongan umat: Allah memberikan Rasulullah ﷺ para sahabat dan pengikut yang setia menyokong perjuangannya.
Kecukupan bukanlah bererti semata-mata dengan harta tetapi kekayaan sebenar ialah kaya jiwa.
Sabda Rasulullah ﷺ :
«لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ»
“Bukanlah orang kaya itu karena banyak memiliki harta benda, tetapi orang yang kaya itu adalah orang yang kaya jiwa.”
Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda:
«قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتاه»
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah telah menjadikannya menerima seadanya menurut apa yang diberikan oleh-Nya (diberi sifat qana'ah).”
Penutup Surah Adh-Dhuhā
Surah Adh-Dhuhā ditutup dengan pesanan praktikal daripada Allah Ta‘ala yang mengandungi tiga arahan penting:
﴿فَأَمَّا ٱلۡيَتِيمَ فَلَا تَقۡهَرۡ ٩ وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنۡهَرۡ ١٠ وَأَمَّا بِنِعۡمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثۡ﴾
“Adapun terhadap anak yatim, maka janganlah engkau berlaku kasar. Dan terhadap orang yang meminta-minta, maka janganlah engkau mengherdik. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyebut-nyebutnya (dengan syukur dan dakwah).”
(Surah Adh-Dhuhā: 9–11)
Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa rahmat dan kasih Allah mesti diterjemahkan dalam bentuk amal dengan lembut kepada yang lemah, memberi kepada yang memerlukan, dan bersyukur dengan menyebarkan kebaikan.
Allah Ta‘ala mengingatkan Rasulullah ﷺ dan umatnya bahawa sebagaimana baginda pernah menjadi yatim, miskin dan memerlukan, maka jangan pernah lupakan golongan yang memerlukan pertolongan hari ini. Ini adalah satu bentuk tarbiyyah ihsan dan empati, yang mesti menjadi teras hidup seorang mukmin.
Khulasah Surah
1. Allah Ta’ala Tempat Bergantung
Allah Ta’ala berfirman:
وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ
"Dan bertawakallah kepada (Allah) yang hidup (kekal) yang tidak mati."
(Surah Al-Furqan: 58)
Segala kebergantungan harus kepada Allah Ta’ala semata-mata kerana Dia yang Maha Menjaga.
2. Allah Ta’ala yang Mengurniakan Harta Kekayaan dan Akhlaq yang Mulia
Kekayaan yang diberikan bukan sahaja berbentuk harta tetapi juga akhlak mulia dan ilmu, yang menjadi kekayaan Rohani.
Allah Ta’ala berfirman:
وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ
"Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia datang dari Allah."
(Surah An-Nahl: 53)
Segala rezeki, baik berbentuk material atau akhlak mulia, adalah pemberian Allah Ta’ala yang wajib disyukuri.
Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّ عَلَيْنَا لَلْهُدَىٰ
"Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa memberi petunjuk."
(Surah Al-Lail: 12)
Sabda Nabi ﷺ:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي وَسَدِّدْنِي
"Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan petunjuk dan luruskanlah aku."
(Hadis Riwayat Muslim, No. 2725)
Hidayah adalah kurniaan Allah Ta’ala yang harus dipohon dengan kerendahan hati kerana hanya Dia yang mampu memberikan bimbingan sebenar.
Akhlaq dalam dakwah menjadi sumber tarikan.
Ia menjadi amalan yang paling banyak memasukkan seseorang ke syurga
Rasulullah ﷺ ditanya tentang amalan yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga. Baginda menjawab:
تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ
“(Iaitu) takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.”
(HR. al-Tirmiżī, no. 2004; Ibn Mājah, no. 4246 – sahih)
Bahkan ianya dikasihi Nabi ﷺ hingga dekat dengan Nabi di Syurga
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَحَبَّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبَكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا
“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.”
(HR. al-Tirmiżī, no. 2018 – sahih)
Sabda Nabi ﷺ yang paling ringkas tetapi menyeluruh:
أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ
“Amalan yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.”
(HR. al-Tirmiżī, no. 2004 – sahih)