Koleksi ABi

Mengingati Kedatangan Kiamat

Hari Jumaat adalah hari sebagai tazkirah tentang kedatangan Hari Kiamat. Kerana tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.

Mengingati Kedatangan Kiamat.

Hari Jumaat adalah hari sebagai tazkirah tentang kedatangan Hari Kiamat. Kerana tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ
(HR. Muslim, no. 854)

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi ﷺ :

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari itu juga dia dikeluarkan daripadanya. Dan tidak akan berlaku kiamat kecuali pada hari Jumaat.”

Dunia dan Akhirat: Dua Ladang yang Berbeza

Allah Ta‘ala menggambarkan kehidupan ini seperti ladang (ḥarth). Dunia adalah tempat menanam benih amal, manakala akhirat adalah tempat menuai hasil.

Firman Allah Ta‘ala:

﴿مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ﴾
(asy-Syūrā: 20)

“Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, Kami akan menambahkan baginya keuntungan itu; dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi dia tidak akan mendapat sesuatu bahagian pun di akhirat.”

Jika ladang akhirat ditanam dengan amal soleh, Allah gandakan hasilnya tanpa batas. Namun, jika hanya menanam untuk dunia, hasilnya hanya sedikit, sementara di akhirat nanti kosong tanpa hasil. Inilah keadilan Allah: dunia tidak dilarang, tetapi semata-mata menjadikannya tujuan utama adalah satu kerugian yang amat besar.

Firman Allah Ta‘ala:

﴿وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا ۖ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ﴾
(Āli ‘Imrān: 145)

“Barang siapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya; dan barang siapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya; dan Kami akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”

Ayat ini selari dengan asy-Syūrā: 20 di mana manusia diberi pilihan, tetapi hanya orang yang bersyukur akan memilih akhirat.

﴿مَن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا ۝ وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا﴾
(al-Isrā’: 18–19)

“Sesiapa yang menghendaki (kehidupan) dunia yang segera, Kami segerakan baginya di dunia ini apa yang Kami kehendaki bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam yang dia akan memasukinya dalam keadaan tercela lagi tersingkir. Dan sesiapa yang menghendaki (kebahagiaan) akhirat serta berusaha ke arah itu dengan usaha yang wajar, sedang dia beriman, maka mereka itulah orang-orang yang usahanya diberi pahala yang baik.”

Dunia hanya diberi “sebahagian” (mengikut kehendak Allah), sedangkan akhirat diberi penuh bagi orang beriman.

﴿مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ ۝ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا۟ فِيهَا وَبَـٰطِلٌۭ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ﴾
(Hūd: 15–16)

“Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia serta perhiasannya, Kami akan sempurnakan balasan amal mereka di dunia ini dan mereka tidak akan dikurangkan sedikit pun. Mereka itulah orang-orang yang tidak ada bagi mereka di akhirat melainkan Neraka, dan gugurlah segala amal yang telah mereka lakukan di dunia, serta sia-sialah apa yang mereka kerjakan.”

Orang yang menjadikan dunia tujuan utama akan “dibayar tunai” di dunia, tetapi di akhirat nanti muflis tiada pahala, bahkan bakal menanggung azab neraka.

Rasulullah ﷺ bersabda:

«الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الْآخِرَةِ»
“Dunia adalah ladang akhirat.”
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daylamī dalam Musnad al-Firdaws, dinilai hasan oleh sebahagian ulama kerana maknanya disokong oleh ayat-ayat al-Qur’an di atas).

Rasulullah ﷺ bersabda:

«مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّتَهُ جَمَعَ اللَّهُ لَهُ أَمْرَهُ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ»
(HR. Ibn Mājah, no. 4105 – sahih)

“Barang siapa yang dunia menjadi cita-citanya, Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di hadapan matanya, dan dia tidak akan mendapat dunia kecuali apa yang ditentukan baginya. Barang siapa yang akhirat menjadi niatnya, Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kaya dalam hatinya, dan dunia datang kepadanya dalam keadaan hina.”

Rasulullah ﷺ bersabda:

«لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ، مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ»
(HR. al-Tirmiżī, no. 2320; sahih)

“Seandainya dunia ini di sisi Allah menyamai nilai sayap seekor nyamuk, nescaya Dia tidak akan memberi orang kafir minum walaupun seteguk daripadanya.”

Muhasabah dan Pesan Tarbawi

Dunia ini pada hakikatnya hanyalah alat, bukan matlamat. Ia sekadar jambatan untuk menuju akhirat. Justeru, sesiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuan utama hidupnya pasti akan kecewa, kerana dunia yang diburu hanya akan memberi sebahagian kecil daripada apa yang diinginkan. Hiasannya akan hilang, keseronokannya akan lenyap, dan apa yang dikumpul tidak akan menemani ke liang lahad. Sebaliknya, akhirat menjanjikan keuntungan kekal yang tiada penghujung.

Seorang mukmin sejati menjadikan dunia ini sebagai ladang untuk menanam amal soleh, agar hasilnya dituai di akhirat. Setiap hembusan nafas, rezeki yang dibelanjakan, dan tenaga yang dicurahkan disemai sebagai amal yang ikhlas kerana Allah Ta‘ala. Maka, segala usaha di dunia tidak akan sia-sia, bahkan akan dipindahkan menjadi bekal abadi yang menyelamatkan di akhirat kelak.

Justeru..Wahai jiwa yang sedang kembali kepada Tuhannya, jadikanlah dunia sebagai jalan menuju Allah Ta‘ala, bukan penamat perjalanan. Tanamlah amal soleh di ladang dunia ini dengan niat ikhlas, kerana hasilnya kelak akan dituai di akhirat iaitu satu hasil yang tidak akan rugi dan binasa.

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka