Koleksi ABi

Mati

Kematian adalah satu-satunya kepastian hidup yang tidak mengenal usia, pangkat atau keadaan. Sama ada manusia memikirkan atau melupakannya, ia tetap akan datang pada masa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta‘ala:

MATI: Antara Ingat Mati dan Takut Mati

Kematian adalah satu-satunya kepastian hidup yang tidak mengenal usia, pangkat atau keadaan. Sama ada manusia memikirkan atau melupakannya, ia tetap akan datang pada masa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta‘ala:

‎كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati."
— (Surah Āli ‘Imrān: 185)

Namun, sikap manusia terhadap kematian berbeza. Ada yang mengingatinya dengan kesedaran iman, dan ada yang takut kepadanya kerana cinta kepada dunia.

Istilah "Ingat Mati"

Ingat mati bererti menyedari dan menginsafi adanya hidup selepas mati sehingga menginspirasi cara hidup ketika hidup di dunia. Ia adalah kesedaran yang menghubungkan dunia dengan akhirat, mendorong seseorang untuk:

Menjadikan dunia sebagai tempat menanam benih amal.

Menjauhkan diri daripada maksiat.

Mengutamakan bekalan menuju akhirat.

Rasulullah ﷺ bersabda:

‎أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ
“Perbanyakkanlah mengingati pemutus segala kelazatan (iaitu kematian).”
— Riwayat al-Tirmidzi (2307), sahih

Ibn al-Qayyim menjelaskan, orang yang mengingati mati akan hidup di antara khauf (takut) dan raja’ (harap) — takut akan azab Allah, dan berharap akan rahmat-Nya.

Takut Mati: Dua Wajah

Takut mati bukan satu bentuk perasaan yang sama bagi semua orang. Ia terbahagi kepada:

a) Takut mati yang terpuji

Takut kerana bimbang belum cukup bekalan amal.

Takut bertemu Allah dalam keadaan berdosa.

Mendorong kepada taubat dan bersungguh-sungguh beramal.

b) Takut mati yang tercela

Takut tentang kesakitan mati tetapi tidak Bersiap langsung hidup lepas mati.

Takut kerana terlalu cinta dunia (ḥubb al-dunyā) dan benci kepada akhirat.

Melahirkan sifat pengecut, malas berjuang dan enggan berkorban demi agama.

Inilah yang dimaksudkan dalam hadis:

‎وَلَيَقْذِفَنَّ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ… قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“…dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Mereka bertanya: “Apakah al-wahn itu?” Baginda bersabda: “Cinta dunia dan takut mati.”
— Riwayat Abu Dawud (4297), sahih

Hidup Antara Takut dan Harap

Islam mengajar supaya takut mati kerana bimbang tentang dosa, tetapi rindu mati dalam keadaan husnul khatimah. Nabi ﷺ berdoa:

‎اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِيمَهُ، وَخَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ
“Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penutupnya, dan sebaik-baik hariku pada hari aku bertemu dengan-Mu.”
— Riwayat al-Hakim (7908), sahih

Ingat mati adalah ubat hati yang menghidupkan kesedaran untuk beramal. Takut mati kerana dosa adalah tanda iman, tetapi takut mati kerana dunia adalah tanda penyakit hati.

Oleh itu, Nabi ﷺ mensifatkan orang yang paling cerdik ialah yang paling banyak ingat mati. Ini kerana dia memandang jauh tentang persiapan masa depannya dalam kehidupan selepas mati.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ ثُمَّ قَالَ:
يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ؟ قَالَ: أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا. قَالَ: فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ؟ قَالَ: أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا، وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا، أُولَئِكَ هُمُ الْأَكْيَاسُ.

Daripada Ibn ʿUmar رضي الله عنهما berkata: Aku bersama Rasulullah ﷺ, lalu datang seorang lelaki Ansar memberi salam kepada Baginda, kemudian berkata:
“Wahai Rasulullah, orang mukmin yang manakah paling utama?” Baginda menjawab: “Yang paling baik akhlaknya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Orang mukmin yang manakah paling cerdik?” Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaannya untuk selepas mati, mereka itulah orang-orang yang paling cerdik.”

— Riwayat Ibn Mājah (4259), dihasankan oleh Syuʿaib al-Arna’ūṭ

Justeru — ingatlah mati sebagai penggerak amal, bukan penghalang hidup. Takutlah mati jika kita masih bergelumang dosa, tetapi rinduilah mati jika kita telah bersedia bertemu Allah Ta‘ala. Kerana mati bukanlah penamat segalanya, tetapi permulaan perjalanan menuju pertemuan abadi dengan-Nya.

ABi

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka