Koleksi ABi
Istilah الإنسان
Istilah الْإِنْسٰنُ disebut sebanyak 65 kali dalam Al-Qur’an. Kita boleh mengelompokkan konteks الْإِنْسٰنُ dalam tiga kategori, iaitu:
Istilah الْإِنْسٰنُ disebut sebanyak 65 kali dalam Al-Qur’an. Kita boleh mengelompokkan konteks الْإِنْسٰنُ dalam tiga kategori, iaitu:
Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.
Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.
Ketiga, insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.
Kecuali kategori ketiga yang akan kita jelaskan kemudian, semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual.
Pada kategori pertama, kita melihat keistimewaan manusia sebagai wujud yang berbeza dengan haiwani. Menurut Al-Qur’an, manusia adalah makhluk yang diberi ilmu. Perhatikan
ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥) (Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)) [Alaq: 4-5] dan
خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣) عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ (٤) (Dialah yang telah menciptakan manusia. (3) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (4)) [Rahmaan: 3-4].
Manusia diberi kemampuan mengembangkan ilmu dan daya fikirnya. Kerana itu juga, kata الْإِنْسٰنُ berkali-kali dihubungkan dengan kata نظر nazhar. Insan disuruh menazhar (merenungkan, memikirkan, menganalisis, meneliti) perbuatannya:
يَوْمَ يَتَذَكَّرُ الْإِنسَانُ مَا سَعَىٰ (Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya) [Nazi’at: 35]
Kedua, manusia adalah makhluk yang memikul amanah:
إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ (Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia) [Ahzab: 72].
Di dalamnya terkandung makna khilafah, manusia sebagai pemikul al-wilayah al-ilahiyyah. Amanah inilah yang dalam ayat-ayat lain disebutkan sebagai perjanjian (مِيثَاقَ). Contoh مِيثَاقَ adalah seperti disebut di dalam Maidah: 7:
وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثَاقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taati.’ Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati (mu).)
Ketiga, kerana manusia memikul amanah, maka insan di dalam Al-Qur’an juga dihubungkan dengan konsep tanggungjawab (taklif). Rujuk Qiyamah: 36
أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى (Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan?)
Manusia diperintah untuk berbuat baik; amalnya dicatat dengan teliti untuk diberi balasan, sesuai dengan apa yang dikerjakannya.
Keempat, dalam menyembah Allah ﷻ, insan sangat dipengaruhi oleh lingkungannya. Apabila dia ditimpa musibah, dia cenderung menyembah Allah ﷻ dengan ikhlas; apabila dia memperoleh keuntungan, dia cenderung sombong, takbur, bahkan musyrik. Lihat Yunus: 12 وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ (Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya)
Dalam kategori kedua, kata الْإِنْسٰنُ dihubungkan dengan ciri negatif pada diri manusia. Menurut Al-Qur’an, manusia itu,
a. cenderung zalim dan kafir seperti disebut di dalam Ibrahim: 34 إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari;
b. tergesa-gesa, terburu-buru seperti disebut di dalam Isra‘: 11 وَيَدعُ الإِنسٰنُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa;
c. bakhil seperti disebut dalam Isra‘: 100 قُل لَّو أَنتُم تَملِكُونَ خَزَآٮِٕنَ رَحمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمسَكتُم خَشيَةَ ٱلإِنفَاقِۚ وَكَانَ ٱلإِنسَـٰنُ قَتُورًا Katakanlah: “Kalau seandainya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya perbendaharaan itu kamu tahan, kerana takut membelanjakannya”. Dan adalah manusia itu sangat kikir;
d. bodoh seperti disebut di dalam Ahzab: 72 إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh;
e. banyak menafikan atau membantah seperti disebut di dalam Kahfi: 54 وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya;
f. resah, gelisah, dan enggan membantu seperti disebut di dalam Ma‘aarij: 19 إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).
g. ditakdirkan untuk bersusah payah dan menderita seperti disebut di dalam Insyiqaaq: 6 يا أَيُّهَا الإِنسانُ إِنَّكَ كادِحٌ إِلىٰ رَبِّكَ كَدحًا فَمُلاقيهِ Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya;
h. tidak berterima kasih seperti disebut di dalam ’Aadiyaat: 6 إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya;
i. berbuat dosa seperti disebut di dalam ’Alaq: 6 كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas;
j. meragukan hari akhirat seperti disebut di dalam Maryam: 66 وَيَقولُ الإِنسٰنُ أَءذا ما مِتُّ لَسَوفَ أُخرَجُ حَيًّا Dan manusia (yang kafir) berkata: “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”;
Apabila dihubungkan dengan sifat-sifat manusia pada kategori pertama, insan menjadi makhluk paradoks, yang berjuang mengatasi konflik dua kekuatan yang saling bertentangan: kekuatan mengikuti fitrah (memikul amanah Allah ﷻ) dan kekuatan mengikut ciri negatif.
Kedua-dua kekuatan ini digambarkan dengan kategori ketiga. Menariknya, proses penciptaan manusia atau asal kejadian manusia dinisbahkan kepada konsep insan dan basyar sekaligus. Sebagai insan, manusia diciptakan daripada tanah liat, intipati tanah, tanah (Hijr: 26; Rahman: 14; Mukminun: 12; Sajdah: 7). Demikian juga basyar berasal daripada tanah liat, tanah (Hijr: 28; Sad: 71; Rum: 20) dan air (Furqan: 54). Ini dapat disimpulkan bahawa proses penciptaan manusia menggambarkan secara simbolik perwatakan basyari dan perwatakan insani. Yang pertama, unsur material dan yang kedua, unsur rohani. Yang pertama, unsur basyari, yang kedua unsur insani. Kedua-duanya harus bergabung dalam keseimbangan. “Tidak boleh (seorang mukmin) mengurangi hak-hak tubuh untuk memenuhi hak roh, dan tidak boleh dia mengurangi hak-hak roh untuk memenuhi hak tubuh,” kata Abbas Mahmud al-’Aqqad.
مِن نُّطْفَةٍ
daripada sperma;
Inilah asal kejadian manusia, iaitu daripada air mani sahaja. Manusia sebenarnya dijadikan bukan daripada air mani, tetapi daripada sperma yang satu daripada banyak-banyak sperma yang ada dalam air mani itu. Namun secara umumnya sperma itu ada di dalam air mani itulah, maka selalunya terjemahan akan sebut ‘air mani’ sahaja. Maka di sini Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia yang Dia telah menjadikan manusia daripada sesuatu yang hina iaitu air mani. Kalau air mani itu jatuh menitik ke bumi, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Kalau terkena pada pakaian kita pun cepat-cepat isteri kita basuh kerana ia dikira sebagai kotor. Keluar pula air mani itu dari tempat keluar air kencing sahaja.
Namun begitu Allah ﷻ telah menjadikan daripada air manilah itu janin yang membesar di dalam rahim ibunya sehingga sampai masa ia boleh keluar. Keluar daripada ibu pun dari tempat keluar darah haid ibu itulah juga. Allah ﷻ beri segala keperluan manusia itu sehingga dia bersifat sempurna. Sewaktu baru lahir itu apa pun tidak tahu, tidak boleh buat. Hendak makan minum kena disuap. Berak merata-rata sampaikan bersusah payah ibu bapa untuk menjaganya dan dipakaikan lampin. Nasib baik comel sahaja yang menyebabkan ibubapa sanggup menjaganya walaupun menghabiskan duit sahaja tanpa membuat kerja apa-apa. Dari kaki dan tangan yang pendek, akhirnya manusia itu mempunyai rupa yang elok dan Allah ﷻ telah memberikan akal kepada mereka. Asalnya tidak tahu apa-apa tetapi Allah ﷻ yang mengajarnya bermacam-macam perkara boleh faham sehingga bermacam-macam perkara mampu buat. Manusia itu rasa dia hebat sampaikan dia lupa dia dulu berasal daripada air mani sahaja.
فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ
Maka mereka tiba-tiba bila sudah jadi manusia, mereka menjadi pembantah yang jelas;
Mereka dijadikan daripada air mani sahaja, tetapi apabila sudah besar sikit, mereka boleh berkata-kata, boleh berbicara. Hebat sekali penciptaan Allah ﷻ dan bagaimana Allah ﷻ membentuk dan membesarkan manusia. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 2
إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
Akan tetapi kemudian mereka membantah Allah ﷻ dengan mengatakan perkara yang salah tentang Allah ﷻ. Antaranya, mereka kata Allah ﷻ memerlukan perantaraan dalam berdoa, atau mereka berkata kalau orang yang banyak dosa, Allah ﷻ tidak mendengar doa hamba itu; dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka amat jauh daripada wahyu dan kerana itu mereka reka pemahaman sendiri tentang Allah ﷻ. Padahal Allah ﷻ tidak sebut tentang itu dalam mana-mana wahyu.
Perkataan خَصِيمٌ itu digunakan untuk merujuk kepada orang yang menentang dengan keras. Mereka amat sombong sampaikan mereka sanggup melawan dengan kuat, dengan jeritan dan sifat yang degil. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan itu. Ini jenis yang kalau kita minta dia sabar, dia akan jerit balik kepada kita: “Apa sabar sabar?!” Berani sungguh dia buat begitu sedangkan yang dia lawan itu adalah kebenaran. Namun fikirannya telah dikelabui oleh kesombongan dirinya. Dia lupa asal kejadiannya dulu yang dijadikan daripada air mani yang hina.
Diriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ashi bin Wa’il As-Sahmi (ayah daripada Amr bin Ash, yang kemudian masuk Islam). Ashi bin Wa’il pernah mendatangi Rasulullah ﷺ dengan membawa tulang belulang yang sudah lapuk dan hancur, lalu dia meremukkannya di hadapan Nabi ﷺ dan menaburkan serpihannya di udara. Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau mendakwa bahawa Rabbmu akan menghidupkan kembali ini setelah ia lapuk dan hancur?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Ya, Allah akan menghidupkan kembali ini, dan Dia akan mematikanmu, kemudian menghidupkanmu, dan kemudian memasukkanmu ke dalam neraka.”
Riwayat ini disebutkan oleh para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir Ath-Thabari, Ibnu Katsir, dan lainnya dalam tafsir mereka, merujuk pada beberapa jalur periwayatan meskipun mungkin ada perbezaan darjat kesahihannya, namun kisah ini sangat masyhur. Ada juga yang mengatakan bukan Ashi bin Wa’il yang dimaksudkan akan tetapi Ubai bin Khalaf. Maka, setelah peristiwa ini, turunlah ayat 77 hingga akhir surah, yang berbicara tentang penciptaan manusia, kemampuan Allah ﷻ untuk menghidupkan kembali yang telah mati, dan tanda-tanda kekuasaan Allah ﷻ di alam semesta.
Sekali lagi kita lihat sifat خَصِيمٌ manusia disebut. Sebelum ini telah disebut di dalam kisah kejadian Kiamat di dalam ayat 49,
مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ
“Mereka tidaklah menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar/berbantah.”
Walaupun kedua-dua kalimah خَصِيمٌ dan يَخِصِّمُونَ itu disebut di dalam konteks yang berbeza, akan tetapi ada persamaan antara keduanya, iaitu menceritakan sifat manusia yang suka bertengkar,
Mereka bertengkar tentang kebenaran risalah.
Mereka bertengkar tentang Hari Kiamat.
Mereka bertengkar antara sesama mereka.
Kaitan antara kedua-dua penggunaan kalimah “خَصِيمٌ” ini adalah seperti berikut:
- Sifat Manusiawi: Kedua-duanya menyebut sifat membantah atau berdebat yang melekat pada manusia, terutamanya mereka yang mengingkari kebenaran.
2. Dari Awal Penciptaan Hingga Akhir Hayat
Ayat 77 (“maka tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata“) menyebut bagaimana sifat membantah ini muncul setelah manusia diciptakan daripada ketiadaan dan diberikan akal. Ini adalah gambaran sifat dasar manusia yang cenderung membantah kebenaran, bahkan tentang asal-usul dan Penciptanya.
Ayat 49 (“ketika mereka sedang bertengkar/berbantah“) menunjukkan kelanjutan sifat ini hingga saat-saat terakhir kehidupan mereka di dunia, di mana mereka tetap dalam perdebatan dan penolakan terhadap kebenaran hingga azab datang mengejut.
Kedua-dua ayat ini secara kolektif menggambarkan sikap ingkar dan membantah yang ada pada sebahagian manusia terhadap kebenaran Allah ﷻ, baik tentang kekuasaan-Nya dalam penciptaan dan kebangkitan, mahupun tentang peringatan akan Hari Kiamat. Ini adalah teguran daripada Allah ﷻ kepada manusia agar merenungkan asal-usul dan tujuan hidup mereka, serta tidak terus-menerus membantah kebenaran yang nyata.