Koleksi ABi

Doa Penyelamat di Hujung Hayat

Setiap insan mukmin pasti berharap untuk mati dalam husnul khatimah — pengakhiran yang baik. Namun pengakhiran yang baik itu tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah natijah daripada hati yang sentiasa bergantung kepada Allah…

Doa Penyelamat di Hujung Hayat: Kenapa Kita Perlu Berdoa Setiap Hari?

Setiap insan mukmin pasti berharap untuk mati dalam husnul khatimah — pengakhiran yang baik. Namun pengakhiran yang baik itu tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah natijah daripada hati yang sentiasa bergantung kepada Allah, lidah yang tidak putus berdoa, dan jiwa yang tunduk menyerah dalam kehambaan.

Maka setiap hari:

Berdoalah agar dosa-dosa diampunkan.

Bertaubat dan berdoa agar taubatnya diterima agar hati suci dan bersih saat dijemput.

Mohon agar amal diterima supaya tidak kosong bertemu Allah.

Mohon dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.

Tambah lagi agar menjadi persiapan untuk kehidupan selepas mati.

Sabda Nabi ﷺ:

"إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ"
“Sesungguhnya segala amalan itu (dinilai) pada penutupnya (penghujung hayat).”
[Riwayat al-Bukhari]

Kenapa doa-doa ini sangat CRUCIAL dan perlu dipohon setiap hari?

Doa adalah manifestasi kehambaan dan tanda pergantungan mutlak seorang insan kepada Allah Ta‘ala. Ia bukan sekadar lafaz yang diulang, tetapi pengakuan dalam hati bahawa kita tidak mampu menguruskan urusan dunia dan akhirat tanpa bimbingan dan rahmat daripada Allah. Doa menyucikan jiwa, menghidupkan harapan, mendekatkan hamba dengan Tuhan, serta membina benteng perlindungan daripada azab dan kesesatan.

Dalam keadaan dunia yang penuh kelalaian, maksiat dan ujian yang tidak putus, doa menjadi tali yang menyambungkan kita dengan langit. Ia menyuburkan kesedaran bahawa kita sentiasa lemah, berdosa dan memerlukan pengampunan. Lebih-lebih lagi, kerana ajal yang datang tidak mengenal usia, dan syaitan yang tidak pernah jemu menggoda — maka memelihara diri dengan doa-doa ini adalah satu keperluan harian yang tidak boleh dipandang ringan.

Setiap malam yang berlalu, setiap subuh yang menyingsing, adalah peluang terakhir yang mungkin tidak akan berulang. Maka sesiapa yang meremehkan doa-doa ini, seolah-olah memperjudikan keselamatannya sendiri di akhirat. Oleh itu, doa-doa ini perlu dipohon setiap hari dengan penuh penghayatan dan keinsafan, sebagai zikir yang menyelamatkan dan sebagai bekal menuju mati dalam keadaan yang Allah redha.

Enam Sebab Utama Kenapa Ia Sangat Diperlukan:

1. Kerana kita berdosa setiap hari, sama ada sedar atau tidak

كل بني آدم خطّاء، وخير الخطائين التوابون
"Setiap anak Adam itu berdosa, dan sebaik-baik orang berdosa ialah yang banyak bertaubat."
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2499, hasan sahih)

Tiada seorang pun daripada kita yang terlepas daripada kesalahan. Maka permohonan keampunan juga perlu lebih kerap — agar tidak mati dalam keadaan membawa beban dosa yang tidak diampunkan.

2. Kerana kita tidak tahu amalan kita diterima atau tidak

﴿إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ﴾
"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Ma’idah: 27)

Amalan yang tidak diterima hanyalah penat yang tidak berguna. Maka kita perlu sentiasa merayu agar amal diterima.

3. Kerana neraka itu benar, dan syurga itu hanya dengan rahmat Allah

لن يُدخل أحداً الجنة عمله... ولا أنا إلا أن يتغمدني الله برحمة منه وفضل
"Tidak ada seorang pun yang akan masuk syurga kerana amalannya... Tidak juga aku, melainkan jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepadaku."
(Riwayat al-Bukhari, no. 5673; Muslim, no. 2816)

Kita bukan masuk syurga kerana layak, tapi kerana Allah kasihan dan merahmati.

4. Kerana kematian datang tiba-tiba, dan kita tidak tahu kesudahan kita

﴿وَمَا تَدْرِي نَفْسٌۭ بِأَىِّ أَرْضٍۢ تَمُوتُ﴾
"Dan tiada satu jiwa pun mengetahui di bumi mana dia akan mati."
(Surah Luqman: 34)

Daripada Uthman bin Zaidah, beliau berkata:

قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ لَا تُؤَخِّرِ التَّوْبَةَ، فَإِنَّ الْمَوْتَ يَأْتِي بَغْتَةً...

Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku! Janganlah kamu menunda-nunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba…”

(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, 6802)

Setiap malam mungkin malam terakhir. Maka orang beriman tidak boleh tidur tanpa taubat dan doa.

5. Kerana di saat kematian, syaitan akan menggoda sehabis daya

Ibn al-Jawzi rahimahullah berkata:

"Syaitan tidak akan berhenti berusaha untuk menyesatkan manusia – dan dia akan bersungguh-sungguh untuk menggoda ketika nafas terakhir manusia."

Ibn al-Jawzi: Talbis Iblis, m/s 277

Nabi ﷺ bersabda:

"لا يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلا وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللهِ"
“Janganlah salah seorang di antara kamu mati melainkan dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.”
[Riwayat Muslim]

Doa adalah benteng di saat akhir. Kita mohon agar dimatikan dengan iman.

6. Kerana selepas mati, tiada lagi peluang taubat

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَقْبَلُ ٱلتَّوْبَةَ عَنِ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَـٰلَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ﴾
"Sesungguhnya Allah menerima taubat dari orang yang melakukan dosa kerana kejahilan, kemudian segera bertaubat."
(Surah al-Nisa: 17)

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ ‎﴿٩٩﴾‏ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: 'Wahai Tuhanku! Kembalikanlah aku (ke dunia), supaya aku dapat mengerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan.' Tidak sekali-kali! Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang dia saja mengucapkannya."
(Surah al-Mu’minun: 99–100)

Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama mana nyawa belum sampai ke halkumnya (kerongkong)."

(Riwayat al-Tirmizi, no. 3537)

Taubat hanya diterima sebelum nyawa sampai ke kerongkong. Esok belum tentu milik kita.

Doa-Doa Harian yang Sangat Penting

1. Doa Mohon Keampunan dan Taubat yang Diterima

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا كُلَّهَا، دِقَّهَا وَجِلَّهَا، أَوَّلَهَا وَآخِرَهَا، عَلَانِيَتَهَا وَسِرَّهَا، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
"Ya Allah, ampunilah seluruh dosa kami – yang kecil dan besar, yang awal dan akhir, yang tersembunyi dan yang terang. Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih."
(Riwayat Muslim, no. 2719)

2. Doa Agar Amalan Diterima

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
"Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (segala amalan kami). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah al-Baqarah: 127)

3. Doa Mohon Dijauhkan dari Neraka dan Masuk Syurga

اللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ
"Ya Allah, lindungilah kami daripada api neraka."
(Riwayat Abu Dawud, no. 1531; al-Nasa’i, no. 1310)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ، وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan segala yang boleh mendekatkanku kepadanya sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Dan aku berlindung dengan-Mu daripada neraka dan segala yang boleh mendekatkan aku kepadanya melalui perkataan atau perbuatan."
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3500; sahih)

4. Doa Mohon Husnul Khatimah

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ، وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الْخَاتِمَةِ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَخَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
"Ya Allah, akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang baik, dan jangan Engkau akhiri kami dengan pengakhiran yang buruk. Jadikanlah sebaik-baik amalan kami adalah penutupnya, dan sebaik-baik hari kami adalah hari kami bertemu dengan-Mu."
(Disebut oleh al-Ghazali dalam Ihya’ dan oleh al-Nawawi dalam al-Adzkar)

Tiada siapa tahu bila detik terakhirnya di dunia ini. Sebaik-baik persediaan adalah kembali kepada Allah dalam keadaan dosa terampun, taubat diterima, amalan diperkenankan, neraka dijauhi dan syurga dinanti. Maka jangan sesekali lalai untuk berdoa setiap hari.

"Semua orang akan mati, tetapi tidak semua orang akan mati dalam keadaan yang Allah redhai."

Maka setiap hari:

Berdoalah agar dosa-dosa diampunkan.

Bertaubat agar hati suci saat dijemput.

Mohon agar amal diterima supaya tidak kosong bertemu Allah.

Mohon dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.

Kerana boleh jadi malam ini malam terakhir, atau subuh esok kita tidak lagi bangun sebagai hamba yang bernyawa.

ABi

Apa yang ingin anda pelajari?

Tekan Esc untuk tutup · Ctrl / Cmd + K untuk buka