Koleksi ABi
Beribadah Di Pinggir
“Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah dengan keadaan tidak tetap pendiriannya; maka kalau ia beroleh kebaikan, tetaplah ia dalam keadaan itu; dan kalau ia ditimpa sesuatu bala bencana, berpalinglah ia ke belakang…
Beribadah Di Pinggir: Antara Khusyuk dan Kejatuhan Jiwa
Tadabbur Surah al-Hajj ayat 11:
﴿ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍۢ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ ۚ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ ﴾
“Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah dengan keadaan tidak tetap pendiriannya; maka kalau ia beroleh kebaikan, tetaplah ia dalam keadaan itu; dan kalau ia ditimpa sesuatu bala bencana, berpalinglah ia ke belakang (kembali kufur); rugilah ia di dunia dan di akhirat; yang demikian itu adalah kerugian yang terang nyata.”
(Surah al-Hajj: 11)
Ayat ini menggambarkan satu golongan manusia yang menyembah Allah bukan dengan keyakinan dan penyerahan sebenar, tetapi hanya pada permukaan. Mereka tidak berdiri atas tapak yang kukuh, sebaliknya berada "di atas pinggir". Mereka ibarat orang yang berdiri di tebing yang licin – bila datang gelombang ujian, mereka segera jatuh dan berpaling.
Dalam Tafsīr al-Ṭabarī menyatakan bahawa ayat ini menggambarkan mereka yang menyembah Allah dalam keadaan tidak tetap, ragu-ragu dan tidak sepenuh hati. Jika keadaan menguntungkan – seperti kesihatan, rezeki, kejayaan – mereka terus percaya. Namun, apabila diuji dengan kesulitan, mereka berpaling dari agama. Menurut al-Ṭabarī, ayat ini turun merujuk kepada segolongan munafiq dan juga orang Badwi yang memeluk Islam kerana habuan duniawi semata-mata, bukan kerana keimanan yang ikhlas.
Imam Ibn Kathīr pula menjelaskan bahawa orang ini beribadah atas dasar untung-rugi. Ibadahnya tidak berteraskan ubudiyyah yang sejati, tetapi bersyarat. Bila mendapat dunia, dia rasa tenang. Tapi bila datang musibah, dia berpaling. Ini menunjukkan keimanannya lemah dan tidak berakar kuat – ibarat pohon yang mudah tumbang kerana tidak berpasak di bumi.
Dalam kitab tafsīrnya, Imam al-Qurtubī memberikan gambaran bahasa yang mendalam. Perkataan "على حرف" membawa maksud "di tepi", yang menggambarkan ketidakstabilan. Orang seperti ini ibarat berdiri di tepi gunung. Jika ada angin yang kencang – berupa musibah atau dugaan – dia akan jatuh tergelincir. Contoh yang disebut oleh al-Qurtubī termasuk orang yang masuk Islam kerana mendapat rezeki, tetapi apabila diuji dengan kemiskinan, sakit, atau kehilangan orang tersayang, dia menyalahkan agama dan berpaling dari Allah.
Ayat ini mengajarkan kepada kita bahawa ujian adalah alat untuk menyaring kualiti iman. Iman yang sejati hanya akan tampak dalam medan ujian. Firman Allah:
﴿ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴾
(Al-‘Ankabūt: 2)
“Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan berkata: ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum diuji?”
Keimanan sebenar tidak bersyarat. Sesiapa yang hanya setia ketika senang, tetapi berpaling ketika susah, belum benar-benar mengenal makna ubudiyyah. Ini bercanggah dengan sifat khusyuk, yang merupakan ketundukan dan penyerahan mutlak hati kepada Allah Ta‘ala – dalam keadaan senang mahupun susah.
Khusyuk bukan hanya berlaku dalam solat, tetapi merangkumi seluruh jiwa yang stabil dan tenang menghadapi qadar Allah. Jiwa yang khusyuk tidak goyah bila diuji. Mereka tetap teguh beribadah, tidak berubah kerana dunia tidak memberi seperti yang diharap. Bahkan mereka semakin hampir kepada Allah dalam musibah dan tidak menjadikan ujian sebagai alasan untuk berpaling.
Khusyuk adalah ketundukan yang lahir dari keyakinan yang dalam. Ia bukan hanya rukun hati dalam solat, tetapi juga sikap hidup yang menyerah sepenuhnya kepada Allah. Orang yang khusyuk akan tunduk kepada takdir, bersabar atas ujian dan terus beribadah tanpa melihat hasil duniawi. Jiwa mereka tidak terikat dengan balasan dunia, tetapi terpaut kepada reda Allah.
Berbeza dengan orang yang beribadah "على حرف", orang yang khusyuk memiliki hati yang teguh dan tidak mudah tumbang meskipun dilanda badai. Mereka tidak berpaling bila diuji. Bahkan musibah menjadi ruang untuk mereka lebih merendah diri dan kembali kepada Allah.
Firman Allah ta’ala:
﴿ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ﴾
(Al-Baqarah: 156)
“Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”
FirmanNya lagi:
وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ ﴿٤٥﴾ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ
وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ﴿٤٦﴾
(Al Baqarah: 45-46)
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Iaitu mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa kepada-Nya mereka akan kembali."
Ayat ini membimbing kita agar menghadapi ujian, keletihan, dan beban hidup dengan sabar dan solat. Solat menjadi ringan hanya kepada orang yang khusyuk, iaitu mereka yang hatinya sedar akan hakikat hidup, kematian, dan pertemuan dengan Allah Ta‘ala.
Ayat ini sangat kuat dalam mendidik hati agar:
Khusyuk dalam solat bukan sekadar gerak zahir, tetapi hasil daripada kesedaran akhirat.
Meyakini pertemuan dengan Allah menjadikan kita lebih jujur, sabar, dan tetap dalam ibadah.
Inilah sifat orang yang khusyuk. Mereka faham bahawa kehidupan adalah milik Allah, dan kembalinya juga kepada-Nya. Tiada pemberian dan pengambilan daripada Allah melainkan ada hikmah dan kasih sayang-Nya.
Didiklah hati dengan ilmu dan zikrullah agar ia stabil. Jiwa yang kenal Allah tidak mudah kecewa apabila diuji. Sebaliknya, dia melihat ujian sebagai peluang untuk mendekat dan mengenal Allah lebih mendalam. Reda kepada qada’ dan qadar menjadi jalan ketenangan, manakala iman yang bersyarat hanya membawa kepada kegoncangan dan penyesalan.
Jadikan musibah sebagai medan muhasabah, bukan ruang untuk menyalahkan takdir. Orang yang benar-benar mengenal Allah akan menjadikan setiap kejadian sebagai pelajaran, bukan alasan untuk berpaling.
Allah Ta‘ala mengingatkan kita bahawa keuntungan sebenar bukan pada dunia, tetapi pada istiqamah dan khusyuk dalam beragama:
﴿ مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ ٱلْءَاخِرَةِ نَزِدْ لَهُۥ فِى حَرْثِهِۦ ﴾
(Asy-Syura: 20)
“Barangsiapa yang menghendaki hasil (tuaiannya) di akhirat, Kami akan tambah hasilnya itu baginya.”
Justeru, marilah kita menyemak kembali kedudukan hati dalam ibadah kita. Jangan beribadah sekadar di pinggir. Berhijrahlah kepada ibadah yang teguh dan khusyuk. Tunduklah kepada Allah bukan kerana nikmat dunia, tetapi kerana kita hamba-Nya yang tidak memiliki apa-apa. Sesungguhnya, orang yang tetap teguh dalam keimanan di tengah ujian dunia itulah yang akan memperoleh keredaan dan keuntungan sebenar – di dunia dan akhirat.